fbpx

2,623 kematian akibat tibi tahun lepas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menjelaskan, sebanyak 2,623 kematian akibat tuberkulosis atau tibi direkodkan tahun lepas, meningkat dua peratus atau 51 kes berbanding 2022.

Beliau berkata, sebanyak 26,781 kes penyakit berkenaan dilaporkan pada tahun lepas dengan peningkatan sebanyak 1,390 atau 5.47 peratus berbanding 25,391 kes, sepanjang tempoh sama tahun sebelumnya.

“Penyakit tibi masih menjadi satu daripada beban penyakit utama di Malaysia. Statistik semasa penyakit tibi membimbangkan dan menjejaskan kualiti hidup rakyat Malaysia.

“Dengan adanya rawatan yang boleh menyembuhkan penyakit tibi, usaha bagi mengesan awal dan memulakan rawatan secepat mungkin perlu ditingkatkan,” katanya dalam kenyataan bersempena dengan Hari Tibi Sedunia hari ini.

Jelas beliau, tibi merupakan penyakit berjangkit yang merebak melalui udara disebabkan oleh Mycobacterium tuberculosis dan organ utama yang dijangkiti ialah paru-paru (pulmonary TB), namun organ lain yang boleh mendapat jangkitan ialah otak (meningitis TB), tulang belakang (spinal TB), kelenjar limfa (lymph node TB), perut (abdominal TB) dan lain-lain.

Gejala penyakit tibi adalah seperti batuk yang berpanjangan melebihi dua minggu, demam, berpeluh waktu malam, kurang selera makan, susut berat badan dan batuk berdarah.

“Salah faham berkaitan gejala penyakit tibi adalah disebabkan santau, buatan orang atau penyakit keturunan perlu diperbetul agar individu yang mempunyai gejala penyakit tibi mendapat pemeriksaan dan rawatan awal di klinik kesihatan dan hospital yang berhampiran.

“Mereka yang berisiko tinggi untuk dijangkiti penyakit tibi seperti pesakit HIV, pesakit buah pinggang kronik, penghidap pulmonari kronik (jenis obstruktif), perokok aktif dan individu yang mempunyai kontak kepada kes tibi juga dinasihatkan untuk melakukan saringan,” ujarnya.

katanya lagi, rawatan bagi penyakit tibi ialah kombinasi ubat-ubatan antibiotik yang perlu diambil setiap hari selama tidak kurang enam bulan, serta pesakit juga disarankan mematuhi jadual rawatan dan berbincang dengan penyelia rawatan jika menghadapi sebarang masalah atau kesan sampingan ubat.

Pesakit yang berhenti mengambil rawatan dan enggan meneruskan rawatan boleh dikenakan tindakan perundangan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Menjadi inspirasi dan harapan negara agar tibi tidak lagi menjadi penyakit berjangkit dalam masyarakat menjelang 2035, selari dengan ‘Strategi Hentikan Tibi’ oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

“Untuk ini, komitmen yang tinggi dan kerjasama erat antara individu, masyarakat, serta pelbagai agensi adalah amat perlu,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI