ADZLIANA merupakan Pengasas Usanita dan jenama pakaian terkemuka, Amber.

Visi besar Adzliana perkasa ekonomi wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NIAT murninya membantu golongan wanita dalam memperkasa kaum itu dalam bidang keusahawan awal-awal lagi sudah dilanda ujian.

Bukan ujian dalam bentuk tentangan atau dana kewangan, tetapi halangan disebabkan kehadiran virus maut, Covid-19.

Ketika itu atau lebih tepatnya pada Januari 2020, wanita cekal dan berwawasan ini nekad menubuhkan sebuah entiti pemudah cara bagi golongan usahawan dikenali sebagai Usanita Sdn. Bhd. (Usanita).

Tidak sampai beberapa bulan mengurus dan mengelola operasi syarikat itu, hadir pula pandemik Covid-19, sekali gus mengganggu serta merencatkan sedikit operasi Usanita.

“Tujuan asal penubuhan Usanita adalah untuk memperkasa wanita dalam bidang keusahawanan dan perniagaan.

“Kemudian, ia memberi fokus kepada mereka yang terkesan dengan Covid-19 ketika itu.

“Justeru, tanggungjawab tersebut saya galas bukan setakat untuk membantu mereka yang terkesan, tetapi sama-sama keluar dari kepompong ujian atau kesusahan,” ujar Datuk Adzliana Hasan.

Wanita itu merupakan insan di sebalik penubuhan Usanita yang sudah memasuki tahun keempat penubuhannya bagi memperkasa ekonomi wanita di negara ini.

Berpeluang menemu bual insan penuh karisma dan memiliki aura tersendiri itu tempoh hari, Ketua Pegawai Eksekutif Usanita tersebut berkongsi banyak cerita menarik.

Menurutnya, sebelum menjadi ketua dalam organisasi tersebut, dia terlebih dahulu pernah bekerja makan gaji.

“Selepas saya tamat pengajian Ijazah Sarjana Perniagaan Antarabangsa di Multimedia University (MMU), saya mula bekerja dari bawah sebagai kerani.

ADZLIANA (kanan) menjalin kerjasama dengan Anna Jobling bagi koleksi Amber Raya pada tahun ini.

“Jawatan dan posisi itu diberi oleh ayah bagi membantu perniagaan keluarga dalam bidang keselamatan (syarikat pengawal keselamatan) dan agensi pekerjaan.

“Daripada seorang kerani, saya diberi kepercayaan oleh ayah untuk menguruskan syarikat tersebut,” katanya.

Dengan sedikit pengalaman dan minat yang ada dalam perniagaan, wanita berusia 42 tahun itu terdorong untuk menubuhkan sebuah entiti sendiri dan ia direalisasikan dengan tertubuhnya Usanita.

Akui Adzliana, sehingga detik ini, masih ramai yang kurang tahu akan kewujudan Usanita walaupun pelbagai kejayaan telah dirangkul syarikat itu.

“Usanita adalah satu entiti atau badan pemudah cara antara pihak kerajaan, agensi atau syarikat korporat.

“Kami akan menyampaikan inisiatif serta aspirasi kerajaan melalui program dan kerjasama pihak kementerian kepada masyarakat di luar sana.

“Banyak program yang Usanita telah jalankan, antaranya bersama Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui program Wanita Bangkit.

“Selain itu ada juga Program Penjenamaan & Pendigitalan bersama Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), kerjasama dengan Airasia Academy dan Pertubuhan

Keselamatan Sosial iaitu agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia dan banyak lagi,” ujarnya.

Berkongsi cabaran menggalas tanggungjawab sebagai ketua organisasi, Adzliana memberitahu, ia bukan sahaja tertumpu kepada cara mentadbir syarikat, malah kemahiran serta idea baharu.

“Selain itu, cabaran dalam era digitalisasi yang mana ketika itu (sewaktu pandemik) semuanya secara maya dan online dan lebih kepada work from home.

“Satu lagi adalah dalam penjenamaan Usanita itu sendiri kepada seluruh masyarakat di Malaysia.

“Alhamdulillah, dengan platform berlainan daripada yang sedia ada dan secara berterusan, Usanita dapat menjadi satu jenama besar buat masa ini,” katanya.

Ditanya lagi mengenai kebolehpasaran golongan wanita di negara ini, Adzliana menjelaskan, ia sangat responsif dan baik.

Katanya, ramai wanita di luar sana yang berani mencuba dan mengambil peluang dalam bidang keusahawanan.

“Ramai usahawan wanita yang menggunakan teknologi serta mengikut trend terkini di semua platform online dan media sosial.

“Jadi, saya rasakan ini sesuatu yang positif kerana wanita zaman sekarang amat jauh beza dengan generasi terdahulu.

“Mereka dibantu pula dengan pelbagai kemudahan teknologi,” katanya.

Tidak sekadar memegang tanggungjawab sebagai ketua, dia juga merupakan seorang usahawan dan memiliki perniagaan pakaian sendiri berjenama Amber.

Terbaharu katanya, Amber Raya koleksi Atma Sari X Anna Jobling adalah koleksi terbaharu bersempena Aidilfitri pada tahun ini.

“Kolaborasi ini saya lihat dapat meningkatkan lagi jenama Amber untuk pasaran di luar sana.

“Kali ini, semua koleksi merupakan nama watak pelakon popular Anna Jobling dalam drama-drama yang pernah dilakon olehnya,” ujarnya.

Mengulas mengenai perancangan Usanita sendiri, Adzliana mengakui, ia sememangnya sangat banyak.

Katanya, pihaknya ada membuat jalinan kerjasama bersama Pemerintah Indonesia melalui program Bridge To Brilliance hujung tahun lalu dan bakal diteruskan pada tahun ini.

Menurutnya, kerjasama tersebut dapat dilihat dari pelbagai aspek terutamanya keusahawanan, kebudayaan, pelancongan dan banyak lagi program serumpun antara dua negara.

“Jika tiada aral melintang, Usahita juga mempunyai perancangan untuk mengadakan satu simposium wanita yang melibatkan negara-negara Asia Tenggara dan pelbagai lagi program berskala besar pada tahun ini,” katanya.

Menutup perkongsian, Adzliana menggesa golongan wanita di luar sana yang mahu menceburi bidang perniagaan supaya memasang niat dengan betul serta jangan sesekali takut kepada kegagalan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN