fbpx

Simpan duit banyak dalam bank bukan bawah bantal – Allaudeen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Allaudeen ketika sidang akhbar di IPK KL hari ini. Foto oleh SYAKIR RADIN/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid menasihati orang ramai agar mengambil iktibar berhubung kejadian rumah usahawan sekitar Padang Balang, Sentul, di sini, yang dipecah masuk pada 4 Mac lalu sehingga menyebabkan kerugian mencecah jutaan ringgit.

Susulan itu, beliau berpesan supaya masyarakat menyimpan barangan berharga terutamanya duit di tempat selamat iaitu di bank agar kejadian sedemikian dapat dielakkan.

“Pesan saya kepada orang ramai, tak kira ‘influencer’ atau usahawan, kalau ada barang berharga dan duit banyak simpanlah dalam bank.

“Jangan simpan bawah bantal di rumah. Simpanlah di bank supaya kejadian sedemikian dapat dielakkan,” katanya ketika ditanya di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut penahanan empat suspek kes itu, hanya usahawan itu menjadi mangsa mereka dan tiada mangsa lain yang dikesan.

Terdahulu Kosmo! melaporkan sebahagian barang kemas serta peti besi dianggarkan bernilai RM 2.1 juta milik usahawan wanita terkenal ekoran rumahnya dipecah masuk berjaya ditemukan di dasar Sungai Sembrong, Batu Pahat, Johor.

Kes tersebut diselesaikan selepas empat suspek warga tempatan ditahan Bahagian D4 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, keesokannya.

Jelasnya, kesemua yang berusia antara 22 tahun hingga 36 tahun kemudiannya diserahkan kepada Pihak D4 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, dan direman selama sembilan hari pada 16 Mac lalu.

“Hasil soal siasat mendapati suspek yang ditahan tiada hubungan kekeluargaan dengan usahawan wanita terbabit.

“19 Mac lalu, suspek lelaki telah membawa pasukan polis dibantu anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ke lokasi barang kemas tersebut dibuang, di Sungai Sembrong, Batu Pahat, Johor.

“Pemeriksaan di kawasan tersebut berjaya menjumpai semula peti besi pengadu di dasar sungai yang mengandungi 4 keping jongkong emas bernilai RM1 juta,” katanya.

Jelas Allaudeen, selain daripada jongkong emas, pihak polis turut menemukan rantai emas (15), gelang emas (14), cincin emas (2), beg berjenama (7), loket emas (1), dan subang emas (1).

Katanya, anggaran keseluruhan nilai barang kemas yang dirampas adalah RM 2.1 Juta.

“Kesemua tangkapan mempunyai 20 rekod lampau babit jenayah dan narkotik serta terlibat dalam beberapa siri kes pecah rumah di negeri Selangor dan Kelantan.

“Modus operandi kumpulan ini menyasarkan ahli perniagaan atau pempengaruh media sosial.

Tegas Allaudeen, kertas siasatan akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam masa terdekat. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI