fbpx

Dua ‘transporter’ didakwa edar RM2.5 juta methamphetamin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kedua-dua tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar atas pertuduhan mengedar dadah hari ini.

KUALA KANGSAR – Dua lelaki yang ditahan minggu lalu kerana dipercayai bertindak sebagai ‘transporter’ sindiket pengedaran dadah, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini.

Tertuduh, Mohamad Faez Abdul Halim, 33, dan rakannya, Shahrul Izhar Takhirul Anuar, 31, didakwa mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 51.5 kilogram (kg) bernilai RM2.5 juta.

Perbuatan itu dilakukan kedua-dua tertuduh di hadapan sebuah bangunan kedai di Persiaran Bougainville Utama dalam daerah Kuala Kangsar pada pukul 4.10 petang, 16 Mac 2024.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua tertuduh mengangguk tanda faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohd. Shazmeer Zamhari.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Mohamad Faez yang berkerja sebagai operator kilang dan Shahrul Izhar yang juga jurudawai elektrik.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fahmi Kamaluddin dan hanya Shahrul Izhar diwakili Hennie Soraya Hanafi yang bertindak sebagai peguam.

Mahkamah tidak menawarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh dan menetapkan 22 Mei ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI