fbpx
Satoshi Umino (tengah) pada majlis pemeteraian MoU bersama wakil dari syarikat pemula di Putrajaya baru-baru ini.

Sustainable Food Camp temukan 100 syarikat pemula global di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sustainable Food Asia dari Jepun telah memeterai memorandum persefahaman dengan Kok Projekt syarikat dari Turkiye dan Merry Year Social Company dari Korea Selatan dalam usaha membangunkan ekosistem dalam kestabilan makanan.

Melalui kerjasama tersebut, ketiga-tiga syarikat dapat melaksanakan inisiatif bagi memperkukuh industri makanan secara global.

Ketua Pegawai Eksekutif Sustainable Food Asia, Satoshi Umino berkata, kerjasama tersebut dapat dimanfaatkan melalui kepakaran negara dalam industri halal dan menjadikan Malaysia sebagai hab perantara dalam memudahcara inisiatif mereka.

“Kami  memilih Malaysia kerana negara ini cukup strategik, malah industri halal Malaysia juga sangat kukuh. Populasi masyarakat Islam juga semakin berkembang seluruh dunia dan komuniti Islam merupakan sasaran utama dalam perancangan masa hadapan kami.

“Buat masa ini, kami akan bertukar teknologi dan idea yang digunakan pakai dan mengembangkan perkhidmatan mengikut keperluan.

“Industri makanan mempunyai rantaian yang cukup panjang dan pihaknya tidak mampu untuk melakukan perubahan. Jadi gabungan antara beberapa negara dalam melaksanakan idea dan mencari solusi terbaik,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.

Selain itu, Pengurus Besar Kumpulan Pengguna Ajinomoto, Yoshiyuki Ozawa berkata, syarikat teruja menjalin kerjasama tersebut dan menyifatkan Malaysia selaku tuan rumah yang cukup kompeten sebagai hub dalam industri makanan halal.

“Malaysia merupakan sebuah negara yang penting bagi Ajinomoto dalam aspek industri makanan halal  dan perolehan pengiktirafan Halal oleh Jakim. Malah Malaysia menjadi negara pengeluar makanan halal yang mengeksport ke Timur Tengah dan kerjasama antara Ajinomoto dan Malaysia telah bermula sejak 1961.

“Kami juga dalam usaha membangunkan industri makanan hijau yang mesra alam dan memberi fokus kepada budaya di Asia. Mereka punya banyak idea yang unik dalam membangunkan industri ini  yang saya fikir kurang memberi kesan buruk kepada alam sekitar” katanya.

Selain itu, Umino menerangkan usaha sama tersebut turut melibatkan penganjuran Sustainable Food Camp yang mana  syarikat pemula di seluruh Asia telah berkumpul dan menjalin kerjasama dalam memperkukuh industri makanan di masa hadapan.

“Untuk kem tahun ini, seramai 100 organisasi dan 200 individu dari Malaysia, Jepun, Korea, Indonesia, Thailand, Turkiye dan Taiwan bakal terlibat.

Memberi fokus kepada tiga isu penting kestabilan makanan di rantau Asia, jelas Satoshi lagi, kem ini turut mewujudkan kerjasama baharu, membangunkan  idea baharu dan peluang menjana modal bagi projek yang bakal dijalankan.

“Banyak aktiviti dan idea dijana dalam kem kali ini yang mana ia bukan sekadar melibatkan keterjaminan makanan, malah isu diabetik, ekonomi, kitar semula dan keselamatan makanan turut diperbincangkan dan ditambahbaik dengan teknologi yang ada. Kami juga membincangkan isu membasmi kemiskinan dan kekurangan nutrisi di kalangan masyarakat.

“Untuk kem kali ini, kami memberi fokus kepada tiga agenda iaitu meningkatkan persekitaran melibatkan gender, akses kepada nutrisi dan kesaksamaan sosial,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN