fbpx
Gambar hiasan.

Ramadan bulan meraih pahala atau dosa?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HARI ini 10 hari umat Islam berpuasa di bulan Ramadan.

Banyak yang diperkatakan mengenai bulan ini. Antaranya ialah Ramadan bulan bagi meningkatkan ketakwaan kepada Allah, melatih kesabaran diri, melatih agar bersifat lebih pemurah, doa yang mudah dikabulkan serta bulan diampunkan dosa.

Sebab itu Ramadan dipanggil penghulu segala bulan selain turut dikenali sebagai bulan al-Quran, bulan kesabaran, bulan kerahmatan, bulan keampunan, bulan kemenangan, bulan kemurahan (hati) dan bulan keberkatan.

Malah, kajian saintifik menunjukkan Ramadan mempunyai banyak manfaat kesihatan antaranya membantu mengawal diabetes, mengurangkan tekanan darah, mencegah kencing manis, mengurangkan faktor risiko penyakit jantung, menurunkan berat badan, mengurangkan simptom penyakit pencernaan (Gerd) dan meningkatkan daya tumpuan otak.

Bagaimanapun manfaat semua itu tidak datang begitu sahaja tetapi mestilah melalui kaedah serta sikap yang sepatutnya. Jika Ramadan dijadikan bulan pesta makanan, maka bukan kebaikan tetapi mudharat yang diperolehi.

Begitu juga jika Ramadan dijadikan bulan untuk bermalas-malasan, maka tiada lagi pahala berganda seperti yang disabdakan Rasulullah SAW; “Setiap amalan anak Adam pasti dilipatgandakan.

Satu kebaikan akan dibalas dengan sepuluh kali kebaikan sehingga 700 kali ganda, bahkan sehingga gandaan tertentu sesuai kehendak Allah.”

Semua itu terpulang kepada diri kita sendiri. Kita mempunyai pilihan untuk membiarkan bulan ini berlalu seperti bulan-bulan lain atau merebut peluang yang ada. Setiap orang pula pasti berbeza urusan dan pekerjaan.

Masing-masing boleh menggunakan ruang dan peluang yang ada untuk meraih keberkatan bulan Ramadan ini.

Penulis ingin menyentuh mengenai peniaga bazar Ramadan yang menjadi tumpuan khususnya melibatkan golongan bekerja dan tidak berkesempatan untuk memasak dan menyediakan juadah berbuka atau bersahur.

Berdasarkan laporan, kelihatan masih wujud sebilangan peniaga yang cuma mengambil kesempatan untuk meraih keuntungan mudah daripada tumpuan orang ramai dengan menjual makanan tidak berkualiti, basi, harga yang melampau mahal dan tidak menjaga kebersihan.

Jelas di sini sikap tersebut langsung tidak selaras dengan amalan mulia yang sepatutnya menjadi panduan ketika menyediakan juadah kepada golongan berpuasa.

Mereka ini bukan sahaja gagal meraih pahala sebaliknya mengumpul dosa jika pelanggan tidak reda dengan wang ringgit yang dikeluarkan untuk membeli makanan tersebut.

Lebih berganda dosa apabila ada pelanggan mengalami sakit cirit-birit akibat keracunan makanan sehingga tidak boleh menunaikan ibadah dengan sempurna, terpaksa dimasukkan ke hospital, tidak boleh bekerja dan lebih parah jika membabitkan kehilangan nyawa.

Oleh itu, kepada para peniaga, manfaatkanlah bulan mulia ini dengan melakukan pekerjaan bagi meraih pahala dan bukan sekadar wang ringgit bersama timbunan dosa. Semoga kita semua diberkati.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN