BARU-BARU ini berlaku kemalangan menyayat hati yang menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal, Amirul Hafiz Omar, 33, yang dilanggar kereta dipandu individu positif dadah serta di bawah pengaruh alkohol.
Rakaman nahas di Jalan Raya Barat, Klang itu tular di media sosial, sehingga mengundang kemarahan rakyat Malaysia tidak mengira bangsa dan agama terhadap pelaku didakwa dalam kes tersebut.
Mereka meluahkan kemarahan terhadap tindakan memandu dalam keadaan mabuk dan khayal dadah sehingga meragut nyawa pengguna tidak bersalah.
Individu terlibat juga telah dituduh di mahkamah.
Isu pemandu mabuk sering dilaporkan media sejak sekian lama, sama ada meragut nyawa orang lain atau menyebabkan kecederaan termasuk cacat kekal sehingga mangsa trauma atas kejadian menimpanya.
Biarpun Malaysia mempunyai peruntukan jelas di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan hukuman berat termasuk denda tinggi, penjara dan lesen memandu digantung, kes sedemikian masih berulang tanpa noktah.
Peruntukan undang-undang kepada pesalah seolah-olah tidak menggerunkan segelintir individu agar tidak memandu di bawah pengaruh alkohol atau mengambil bahan terlarang.
Hal ini mungkin disebabkan sikap segelintir individu tersebut memandang ringan risiko memandu selepas meneguk alkohol atau mengambil dadah.
Mereka memandu dalam jarak dekat dan mungkin merasakan mampu ‘mengawal’ keadaan, tetapi hakikatnya dalam keadaaan mabuk dan tidak sedar.
Pengambilan alkohol atau dadah menjejaskan keupayaan untuk membuat keputusan sewaktu mengendalikan kenderaan, malah fokus pemanduan mereka juga terganggu.
Ada juga mengkritik penguatkuasaan oleh pihak berkuasa yang dikatakan tidak konsisten. Operasi sekatan jalan dan pemeriksaan alkohol didakwa dibuat secara bermusim atau pada waktu tertentu.
Dari segi statistik kemalangan maut melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah menunjukkan peningkatan dengan 27 kes pada 2024, manakala 31 kes direkodkan tahun lalu.
Pensyarah Perubatan Kanan dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Abdul Rahman Ramdzan berkata, pendekatan kesihatan awam menekankan langkah pencegahan melangkaui hukuman semata-mata.
Menurutnya, pendekatan pelbagai peringkat perlu dilaksanakan termasuk pencegahan awal dengan mengawal akses kepada alkohol serta meningkatkan kesedaran awam.
“Pencegahan sekunder melalui penguatkuasaan tegas seperti ujian pernafasan secara rawak dan penggantungan lesen juga perlu diperkasa.
“Seterusnya, pencegahan tertier melibatkan usaha pemulihan termasuk rawatan ketagihan alkohol serta intervensi perubahan tingkah laku,” katanya.
Beliau berkata, faktor sosial turut memainkan peranan penting yang mana normalisasi pengambilan alkohol dalam sesetengah situasi sosial boleh
mendorong amalan berisiko seperti memandu selepas minum.
“Perubahan sikap masyarakat amat penting supaya pemanduan di bawah pengaruh alkohol dilihat bukan sahaja menyalahi undang-undang, tetapi tidak boleh diterima secara sosial,” tegasnya.















