PETALING JAYA – Terdapat peniaga kedai runcit dan pasar raya mula menurunkan harga beras putih import (BPI) selepas kerajaan menerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) bersetuju harga jualan runcit BPI diturunkan antara RM2 hingga RM3 berkuat kuasa semalam.
Di Kluang, pemilik Kedai Runcit Aziz di Kampung Paya, Erdawati Ali, 39, berkata, semua jenis BPI yang dijual di kedainya sudah diturunkan harga sehingga RM3 sekampit.
“Sebelum ini BPI dijual RM42 untuk kampit 10 kilogram (kg) kini dijual pada harga RM39.
“Semua harga beras import yang diturunkan di kedai kami mengikut ketetapan diberikan oleh pembekal beras termasuk harga beras pulut,” katanya ketika ditemui semalam.
Seorang pengurus sebuah pasar raya hyper di Kluang memaklumkan, pihaknya masih menjual BPI pada harga sama.
“Kami masih belum mendapat sebarang arahan daripada pihak pengurusan pasar raya serta pembekal.
“Namun kami tetap akan melakukan penurunan harga seperti diumumkan setelah mendapat arahan,” ujarnya.
Di Ipoh, beberapa pasar raya dan pasar mini didapati menurunkan harga runcit BPI antara RM2 hingga RM3 seperti yang ditetapkan NACCOL kelmarin.
Tinjauan di sebuah pasar raya mendapati harga beras Jasmine Siam Best 5% pek 10kg diturunkan harga sebanyak RM6.91 iaitu RM37.99 berbanding harga asal RM44.90.
Harga beras Cap Rambutan TRW 10kg ialah RM38.99 iaitu penurunan RM5.90 berbanding RM44.89 sebelum ini dan beras Thai King Siam Rice 10kg pula berharga RM36.99 berbanding harga asal RM46.49 iaitu penurunan RM9.50.
Di sebuah pasar mini pula, harga beras Faizah Emas Putih Import 10kg turun RM5.50 iaitu RM37.99 berbanding RM43.49.
Harga beras Jasmine Super Blue Import Rice 10kg pula RM38.99 berbanding RM44.89 iaitu penurunan RM5.90.

Di Shah Alam, seorang pekerja kedai runcit yang hanya mahu dikenali Ali berkata, harga yang tertera pada setiap bungkusan beras yang dijual semalam bukan harga sebenar.
“Untuk mendapatkan harga sebenar, pihak kedai perlu ‘scan’ bar harga pada bungkusan tersebut. Majikan saya mengikut arahan penurunan harga BPI seperti yang telah ditetapkan kerajaan,” ujarnya.
Di Kuala Terengganu, seorang pengusaha kedai runcit, Siti Hawa Endut, 48, memberitahu, dia tidak dapat mematuhi penyelarasan harga tersebut buat masa ini berikutan bekalan sedia ada masih belum habis.
“Pengumuman itu lewat kerana pembekal sudah menghantar beras import pada harga lama minggu lalu. Saya memilih pendekatan tunggu dan lihat tentang harga baharu yang akan diberikan pembekal kelak,” katanya.
Penyelia sebuah pasar raya, Hazmi Musa pula berkata, pihaknya tidak mendapat gambaran lebih lanjut tentang penurunan harga beras import itu daripada pembekal.
“Harga beras putih import masih tinggi ketika ini gara-gara kekurangan bekalan beras tempatan. Beri peluang kami menghabiskan stok lama sebelum mematuhi harga baharu ditetapkan kerajaan,” katanya.
Di George Town, tinjauan di premis peruncitan dan pasar raya mini di daerah Barat Daya iaitu di Sungai Ara dan Bayan Lepas, di sini semalam mendapati, bekalan bagi beberapa jenama BPI masih menggunakan harga lama.
Menurut seorang penyelia premis, pihaknya masih belum menerima senarai harga baharu daripada pembekal bagi jualan runcit BPI susulan pengumuman kerajaan kelmarin selain sedang menunggu penghantaran stok beras baharu.
Di Kuala Lumpur, kebanyakan pasar raya serta pasar mini di sini masih mengekalkan harga sama dengan rata-rata premis menjual BPI bagi kampit 5kg masih dijual pada harga RM24, manakala beras 10kg berharga RM43.
Kelmarin, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dipetik berkata, kerajaan optimis inisiatif ini dapat membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup. -KOSMO! ONLINE














