“SAYA yakin bahawa saya seorang pelakon yang versatil.”
Berbunyi tegas, namun itulah penyataan yang terbit dari bibir pemilik nama lengkap, Nabila Huda Suhaimi atau nama pentasnya, Nabila Huda menjawab isu penampilan kininya yang sudah sinonim menjayakan watak ‘mak-mak’ atau wanita berusia.
Anak kepada legenda rock tanah air, Amy Search itu tidak mahu pusing memikirkan tanggapan sebilangan peminat bahawa dia sekarang semakin menua dan tidak layak memainkan peranan anak remaja seperti awal kemunculan, suatu ketika dahulu.
Nabila percaya kehidupan ibarat roda dan tiada apa yang perlu dibimbangkan, melainkan terus menderas langkah memberikan komitmen terbaik dalam pekerjaan.
“Saya boleh jadi tua, boleh jadi remaja dan pelbagai karakter. Sebagai pelakon, saya nak mencuba karakter yang bersifat pelbagai.
“Sebab ini adalah kerja kita. Jangan pernah rasa hanya kerana kita diberikan kepercayaan bawa watak ‘mak-mak’, rezeki kita sudah tiada dalam bidang ini.
“Secara realitinya, sekarang saya sudah berusia 40 tahun. Memang saya akan bawa watak sebegitu andai dipertanggungjawabkan pengarah atau penerbit.
“Ada juga karakter saya jayakan statusnya ‘belum berkahwin’ macam dalam Budak Flat,” ujarnya kepada HibGlam.

Salina, air mata
Muncul dengan watak Salina menerusi drama rantaian terbaharu slot Samarinda TV3 berjudul Lelaki Itu, Nabila atau mesra dengan panggilan Abil berkata, naskhah berkenaan menuntut dirinya bermain banyak adegan air mata.
“Kalau kerja dengan Erma Fatima, memang dia akan ‘offer’ saya watak-watak berat. Untuk menangis sepanjang hari, itu memang saya dah biasa. Selalu bawa watak sebegitu.
“Ada pengalaman sebelum ini ‘shooting’ dari 8 pagi sampai 4 pagi (keesokan harinya), menangis sahaja tak berhenti.
Untuk saya sebagai seorang pelakon, kita kena pandai ‘bajet’ air mata kita (ketawa). Jangan gunakan terlalu berlebihan. Menangis ada banyak jenis, tak semestinya kena meraung. Kena pandai seimbangkan adegan dan rancang sesesebuah watak.
“Untuk drama berepisod macam Lelaki Itu, babak sedih ada graf. Tak bolehlah baru episod tiga sudah meraung. Perlahan-lahan untuk bagi mood sampai kepada audiens,” ujarnya.
Lebih 20 tahun bergelumang dalam seni lakonan, Abil percaya, pengalaman membantunya untuk terus mengorak langkah sebagai seorang dramatis atau anak wayang.
“Pengalaman sebenarnya yang buat kita faham apa yang dikerjakan. Saya tak nak mendabik dada, boleh petik jari terus nangis.
“Perjalanan seni saya panjang. Bukan senang. Saya ambil masa 10 tahun untuk faham dan matangkan diri dengan teknik lakonan yang sebenar.
“Sekarang saya berada pada tahap pengarah datang dan cakap ‘camera roll’, saya dah terus boleh masuk watak.
“Saya sudah bukan Nabila Huda tapi Salina untuk drama Lelaki Itu,” ungkapnya.

‘Banyak lagi perlu belajar’
Disamakan dengan aktres legenda seperti Allahyarham Neng Yatimah dan Allahyarham Azean Irdawaty yang terkenal dengan watak air mata, Abil merendah diri seraya menjawab: “Saya tak pernah rasa sampai ‘level’ mana-mana pun.
“Saya tetap rasa, banyak benda perlu dipelajari dan bahkan, saya masih belajar. Tengok kualiti dan komitmen pelakon-pelakon senior, terdetik, masih jauh perjalanan saya.”
Meneruskan bicara, Abil terpanggil menyentuh ‘budaya’ penonton Malaysia yang seperti takutkan bayang-bayang sendiri.
Menjadikan isu ‘softporn’ sebagai dalam filem atau drama sebagai contoh, dia berkata, yang membezakan zaman dahulu dan sekarang adalah teknologi.
“Kalau asyik cari salah sahaja, sampai bila industri kita nak maju?
“Kita ini, semakin bertambah tahun, semakin nak mencari salah. Sekarang dah 2024. Nak majukan industri perlukan sokongan antara satu sama lain,” katanya.
Abil juga hairan apabila ‘realiti’ masyarakat menerusi drama mahupun filem juga masih menjadi perdebatan khalayak.

‘Softporn’
Menurutnya, babak ‘softporn’ sememangnya berlaku dalam kehidupan seharian khalayak.
“Dunia media sosial sekarang, semua benda jadi salah padahal benda ini (softporn) dari dahulu memang wujud dalam drama mahupun filem.
“Tapi orang tak pandang nilai moral yang dipaparkan. Orang lebih pandang adegan yang kontroversi.
“Orang sekarang hidup dalam denial (penafian). Padahal benda begitu berlaku dalam hidup masing-masing cuma mereka tak suka kita visualkan. Zaman sekarang, orang suka ‘screenshot’ dan jadikan sesuatu benda kontroversi,” ujarnya.
Abil menegaskan, semua orang yang terlibat dalam bidang seni berusaha keras untuk menzahirkan karya bermutu buat audiens.
“Bukan senang menjadi seorang anak wayang. Janganlah dengan mudah menjatuhkan maruah kami hanya kerana kami berlakon. Kami tak buat salah apa pun.
“Kita buat bahagian kita dan bekerja bersungguh-sunggguh. Kerja lebih jam berbanding orang lain. Tapi, kami tak pernah mengeluh tentangnya. Kita betul-betul cintakan kerjaya kita,” tutupnya.
Lelaki Itu akan mula ditayangkan menerusi slot Samarinda TV3 bermula esok (19 Mac 2024).
BUKANnya mendesak penonton bersikap liberal, Abil sekadar mahu naskhah drama atau filem diterima secara lebih terbuka dan dilihat sebagai bukan ancaman kepada masyarakat.














