KUALA TERENGGANU – Berita mengenai kewujudan semula ajaran sesat Ayah Pin menggemparkan penduduk negeri ini yang rata-rata mahu tindakan segera diambil pihak berkuasa untuk mengekang penyebaran kumpulan agama berkenaan.
Menurut penduduk, ajaran Ayah Pin menerusi gerakan Kerajaan Langit perlu ditumpaskan lebih awal sebelum berkembang seperti yang pernah berlaku di Kampung Batu 13, Hulu Besut sebelum ini.
Seorang penduduk, Mohd. Azwan Omar, 42, berkata, ajaran Ayah Pin tidak boleh dibiarkan sehingga berakar umbi dalam masyarakat.
“Kita harus ambil pengajaran kerana sewaktu Ayah Pin masih hidup dahulu, ajarannya mampu menarik ramai termasuk golongan profesional dan selebriti.
“Tidak mustahil perkara sama boleh berulang sekiranya tindakan membanterasnya lambat dilakukan,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Saleha Mutalib, 36, turut melahirkan kebimbangan mengenai keadaan kampung halamannya di Besut yang berdepan ancaman penularan semula ajaran Ayah Pin 2.0 ini.
“Dahulu markas Ayah Pin di Kampung Batu 13, Hulu Besut penuh dengan pengikutnya sehingga menakutkan penduduk setempat,” katanya.
Dalam pada itu, rata-rata pengguna media sosial turut menyuarakan kebimbangan sebaik dimaklumkan mengenai kewujudan semula ajaran sesat tersebut.
“Saya hanya sedar mengenai ajaran Ayah Pin selepas dimaklumkan pengurusan masjid kariahnya sebelum khutbah solat Jumaat kelmarin,” Mohammad Amin dalam komennya di Facebook.
Rusmaliza Muhammad pula risau dengan lambakan ajaran sesat yang semakin berleluasa yang menggunakan media sosial termasuk Tik Tok untuk menyebarkan fahaman mereka.














