fbpx

All England: Aaron akui tugas belum selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AARON (kiri) dan Wooi Yik berpeluang meraih gelaran All England pertama mereka menjelang aksi final menentang Fajar-Rian dari Indonesia.

KUALA LUMPUR – Beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik merealisasikan hasrat untuk mengulangi pencapaian 2019 apabila berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir pada Kejohanan Badminton All England.

Pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Utilita Arena, Birmingham awal pagi tadi, bekas juara dunia itu menewaskan beregu Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan 21-16, 21-15 dalam tempoh 36 minit.

Lebih membanggakan, Aaron-Wooi Yik tidak pernah tewas satu set permainan pun sepanjang Jelajah Dunia Super 1000 itu apabila mencatat kemenangan straight set dalam kesemua perlawanan sejak pusingan pertama.

Meskipun sudah mengesahkan tempat ke pentas final, namun Aaron menegaskan, tugas mereka masih belum selesai kerana akan berdepan aksi cukup penting di perlawanan akhir nanti bertemu Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia.

“Selepas lima tahun, akhirnya kami sekali lagi dapat melangkah ke perlawanan akhir All England. Saya sangat gembira dengan prestasi kami hari ini tetapi tugas masih belum selesai kerana ada satu lagi perlawanan.

“Kami akan dapatkan rehat yang cukup dan sedia untuk berikan segala-galanya pada perlawanan akhir nanti. Hari ini kami hanya fokus pada permainan sendiri dan mainkan peranan masing-masing,” katanya kepada BWF sejurus tamat perlawanan.

Untuk rekod, ini adalah final All England kedua buat beregu No.5 dunia tersebut selepas melakukannya pada 2019 di mana mereka sekadar menjadi naib juara apabila tewas kepada beregu legenda Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan.

Kali terakhir Malaysia muncul juara All England dalam acara beregu lelaki adalah pada 17 tahun lalu menerusi gandingan emas, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang memenangi edisi 2007. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI