GUA MUSANG – Sebahagian besar daripada 100 peniaga makanan dan minuman di bazar Ramadan Gua Musang di sini tidak menaikkan harga jualan meskipun terkesan dengan kenaikan kos bahan mentah.
Rata-rata peniaga yang ditemui mengakui terbeban dengan kos barangan namun terpaksa mengekalkan harga asal kerana bimbang kehilangan pelanggan sekiranya harga makanan dan minuman dinaikkan.
Seorang peniaga, Asnah Seman, 47, mengakui perniagaannya yang telah bertapak di bazar Ramadan sejak 15 tahun lalu sedikit terganggu kerana bahan mentah bagi menghasilkan air balang pelbagai perisa menyaksikan kenaikan harga lagi tahun ini.
Katanya, dia yang berniaga air di bazar Ramadan sejak 15 tahun lalu masih mengekalkan harga serendah RM3 bagi semua jenis air balang yang dijual.
“Setiap air dijual dengan harga RM5 untuk plastik besar atau RM3 untuk plastik kecil dan harga itu kekal sejak tahun lalu kerana kasihan kepada pembeli yang ketika ini terbeban dengan kos kenaikan harga barang.
“Harga bahan mentah seperti teh bunga juga meningkat iaitu RM90 sekilogram berbanding RM70 pada tahun lalu,” katanya yang menjual 17 jenis air balang di bazar Ramadan di padang Kompleks Serbaguna Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) di sini.
Seorang lagi peniaga, Muhamad Saiful Salleh, 35, berkata, kebanyakan peniaga makanan di sini mendakwa kehadiran pengunjung merosot berbanding tahun lalu meskipun telah memasuki hari keempat berpuasa.
Katanya, setiap hari dia berjaya menjual sebanyak sembilan berbanding 12 kuali mi goreng dan kuetiau goreng sebelum ini.
“Perbezaan jualan tahun ini dan tahun lepas boleh dikatakan 20 peratus berkurangan. Kami merasakan pembeli berhemah dalam berbelanja disebabkan kos sara hidup semakin naik serta sesi persekolahan baharu sahaja bermula,” katanya.
Seorang pengunjung, Tengku Razali Tuan Kechik, 56, berkata, sebagai pelanggan dia agak terkesan dengan harga yang sedikit meningkat di bazar Ramadan dan berkira-kira untuk membeli juadah berbuka puasa.
“Saya melihat harga di bazar Gua Musang lebih kurang saja. Harga air tuak dan harga kuih ada yang tidak berlaku kenaikan.
“Biasalah orang berniaga dia nak juga untung. Saya memahami kenaikan harga makanan berkait dengan barangan keperluan yang tinggi serta peniaga terpaksa mengeluarkan modal untuk caj sewa tapak,” katanya.














