fbpx

Polis Johor siasat dakwaan 2 anggota peras ugut pasangan Singapura RM500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANGKAP layar video menunjukkan dua anggota polis trafik BSI yang didakwa memeras ugut pasangan warga Singapura RM500 kerana memasuki lorong salah untuk pulang ke republik itu.

JOHOR BAHRU – Polis Johor sedang menyiasat dakwaan dua anggotanya bertindak meminta wang berjumlah Dolar Singapura 142 atau RM500 daripada pasangan republik berkenaan di laluan lori, Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, kejadian tersebut dipercayai berlaku ketika pasangan itu dalam perjalanan pulang ke Singapura pada pukul 8.15 malam, 10 Mac lalu.

Sehubungan itu, pihaknya telah meminta bantuan pihak berkuasa Singapura untuk mengesan pasangan berkenaan, ekoran tiada laporan polis dibuat secara rasmi.

“Melalui hantaran yang tular, dipercayai penama Irene Teo telah diarah membayar RM500 kepada dua anggota Bahagian Trafik BSI bagi mengelakkan tindakan saman diambil atas kesalahan memasuki laluan lori di premis berkenaan.

“Sehubungan itu, siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan iaitu pemerasan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Kumar, Polis Johor komited memerangi jenayah termasuklah salah laku yang dilakukan dalam kalangan pegawai dan anggotanya sendiri demi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pihaknya.

“Mana-mana pihak yang dipercayai melakukan kesalahan jenayah akan diambil tindakan tegas tanpa kompromi berdasarkan prinsip kesamarataan dibawah Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.

Sementara itu, tular dua rakaman video berdurasi 1 minit 21 saat dan 1 minit 37 saat memaparkan kenderaan pasangan itu diminta melalui laluan lain sebelum ditahan pegawai lain sehingga mengakibatkan mereka diminta membayar RM500. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI