fbpx

Kerajaan kaji naikkan kadar gaji minimum sektor 3D

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHMAD ZAHID berucap sempena Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Jamek Pekan Layang-Layang, Kluang hari ini.-Foto RAJA JAAFAR ALI

KLUANG – Bagi menarik lebih ramai pekerja tempatan menceburi sektor pertanian, gaji minimum perlu dinaikkan termasuk industri pengeluaran sayur yang kini bergantung kepada pekerja asing.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam jangka masa panjang kerajaan mahu mengurangkan jumlah pekerja asing di negara ini termasuk dalam sektor 3D, iaitu kotor, bahaya dan sukar.

Katanya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah diarah untuk memantau isu tersebut.

“Dalam mesyuarat Kabinet sebelum ini, menjadi pertimbangan kerajaan mahu tenaga kerja tempatan. Namun, sektor 3D ini kurang diminati oleh para pekerja tempatan kerana gaji rendah yang ditawarkan.

“Oleh itu, bagi tempoh jangka masa panjang, kerajaan berhasrat mahu mengurangkan pekerja asing walaupun dalam sektor 3D, tetapi perlu lakukan tawaran gaji yang minimun agar tidak kekurangan bekalan sayur-sayuran, begitu juga dalam sektor pembinaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan Bersama Timbalan Perdana Menteri di Masjid Jamek Pekan Layang-layang, Simpang Renggam, di sini hari ini.

Sebelum itu, media melaporkan dua persatuan mewakili pengusaha sayur terbesar di negara ini menjangkakan harga sayur-sayuran akan mengalami kenaikan sehingga 25 peratus mulai bulan depan sekiranya isu kuota pekerja asing terus membelenggu mereka.

Ia berikutan kekurangan pekerja asing yang kritikal masih dialami sektor berkenaan sehingga menjejaskan bekalan serta diburukkan lagi dengan langkah kerajaan membatalkan kuota pekerja asing yang tidak digunakan sebelum 31 Mac ini.

Persekutuan Penanam Sayur-Sayuran Malaysia menjangkakan bekalan mula terjejas bulan depan, manakala Persatuan Pekebun Melayu Cameron Highlands menjangkakan bekalan lebih buruk pada Mei dan boleh berlarutan hingga Julai.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI