fbpx

12,500 wanita carum skim keselamatan sosial secara percuma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Seramai 12,500 wanita di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) termasuk kesemua jabatan dan agensi akan mendapat caruman Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) secara percuma.

Menteri Sumber Manusia, YB Steven Sim Chee Keong berkata, jumlah itu turut melibatkan kakitangan lelaki yang mencarum bagi isteri mereka sebagai manifestasi kasih sayang serta penghargaan.

“Cetusan idea ini adalah langkah awal KESUMA dan berharap ianya menjadi contoh bagaimana kita menghargai wanita terutamanya kepada golongan wanita yang berkerja sebagai suri rumah kerana mereka ini juga tergolong dalam ekonomi penjagaan (care economy) yang turut sama menyumbang kepada pembangunan negara.

“Ini adalah satu penghargaan daripada pihak Kementerian Sumber Manusia bersempena sambutan Hari Wanita diperingkat KESUMA,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Steven Sim berkata, pihak KESUMA sedang meneliti dan memperhalusi pindaan had umur kelayakan SKSSR daripada 55 tahun ke 60 tahun.

“Ini membolehkan 720,600 lagi golongan wanita yang akan layak mencarum dalam SKSSR.

“Sepanjang tempoh 2023, seramai 205,000 wanita telah berjaya mencarum selepas ianya diperkenalkan pada 2022 manakala bagi tahun 2024 pula, sasaran PERKESO adalah sebanyak 500,000 wanita,” katanya.

Dalam pada itu, KESUMA melalui PERKESO telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman Program Kerjasama bagi SKSSR bersama Yayasan Kebajikan Negara Malaysia (YKNM).

“Memorandum ini juga bertujuan untuk memberi galakan kepada caruman SKSSR selain membantu ramai lagi golongan wanita dilindungi di bawah caruman skim ini.

“Pihak yang menaja atau mencarum skim ini melalui YKNM juga layak mendapat pengecualian cukai di bawah peruntukan Seksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967,” ujarnya.

Ini merupakan salah satu inisiatif KESUMA di bawah PERKESO dalam menghargai dan memperkasa peranan wanita dengan menyediakan perlindungan keselamatan sosial negara di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 iaitu memfokuskan kepada suri rumah dan Akta Keselamatan Sistem Insurans Pekerjaan 2017 iaitu golongan pencari kerja khususnya wanita. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI