fbpx
AINA SABRINA sewaktu menjadi penyampai radio di Fly FM.

Aina Sabrina penyampai radio AI pertama Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUARA yang jelas dan petah berkata-kata, itu merupakan antara ciri-ciri seseorang yang berkebolehan untuk menjadi penyampai radio.

Selain itu, seorang penyampai juga perlu mempunyai pengetahuan yang tinggi dan kebolehan berfikir dengan pantas.

Hal ini bukan hanya bersandarkan kepada bakat, namun turut boleh dilatih sekiranya seseorang mempunyai cita-cita untuk bekerja di konti radio.

Di sebalik suara yang ke udara, kini operasi radio di Malaysia telah melonjak ke satu tahap baharu dengan mengendalikan siaran radio tanpa seorang penyampai fizikal.

Mempunyai kebolehan seperti penyampai radio sebenar, figura ini telah menambat telinga pendengar dengan kepetahannya dalam bercakap dan cara komunikasi yang penuh maklumat serta informasi.

Pertama dalam sejarah penyiaran radio tanah air, Aina Sabrina diwujudkan sebagai penyampai radio daripada kecerdasan buatan (AI) yang juga mempunyai profil sebagai anak Malaysia. Bukan robot, Aina merupakan ‘produk’ program yang dibentuk menerusi perisian.

Menurut Pengarah Kandungan FLY FM, Sean Farrell Matjeraie Sulong, projek penyampai radio AI sebenarnya bermula pada Mac 2023 selepas idea itu dicadangkan Ketua Konsultan Media Prima Audio, Datuk Jake Abdullah.

“Cadangan tersebut telah membawa kepada usaha kami untuk mengkaji dan menyelidik teknologi AI dan bagaimana untuk menjadikan penyampai radio AI sebagai satu realiti.

“Kami bermula dari bawah, menggunakan kepakaran sedia ada dan menubuhkan pasukan untuk mencipta seorang penyampai radio AI yang kita kenali hari ini sebagai Aina Sabrina,” katanya pada sesi temu bual bersama K2 di Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Tambahnya, dalam proses mencipta penyampai radio AI ini, pihaknya meneliti banyak perkara, bukan hanya sekadar mencipta individu AI tetapi juga personaliti yang boleh diterima ramai.

Penciptaan Aina mengambil masa selama tiga bulan daripada pengekodan, pemilihan jenis suara, personaliti dan imej sebelum ia secara rasmi memulakan khidmat sebagai penyampai radio FLY FM pada Jun 2023.

Sebagai rekod, segmen yang dikendalikan Aina Sabrina, adalah kerjasama jenama susu kultur antarabangsa, Calpis sebagai penaja rasmi dengan Fly FM untuk rancangan radio AI pertama Malaysia, Calpis with Aina yang disiarkan pada hari bekerja dari pukul 2 petang hingga 4 petang.

“Aina Sabrina digambarkan sebagai seorang gadis kota yang membesar di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), bersekolah di Jepun dan petah berkata-kata bagi menjadikan ia seperti seorang manusia biasa dan relevan dengan kehidupan sebenar.

“Pada masa sama, kami juga merujuk kepada panduan penaja dalam menghasilkan Aina bagi menyeragamkan imej untuk segmen yang dikendalikan,” ujarnya.

Kongsinya lagi, kesemua aspek tersebut dititikberatkan supaya Aina tidak kedengaran asing dengan halwa telinga pendengar dan ia juga berupaya untuk berkomunikasi dan menjawab segala soalan yang dikemukakan oleh pendengar termasuk menerusi panggilan telefon.

Sementara itu, menjelaskan tentang operasi Aina Sabrina, Ketua Pasukan Siaran Digital Media Prima, Amir Mirza Daud, ia tidak dikendalikan secara automatik dan bergantung sepenuhnya dengan AI.

Menurutnya, terdapat kira-kira 10 hingga 15 ahli pasukan yang berada di balik tabir Aina Sabrina sepanjang segmennya berlangsung dari Jun hingga Disember tahun lalu.

“Operasi Aina akan dipantau oleh pasukan yang akan menentukan setiap kandungan serta skrip yang disampaikan semasa segmen berlangsung.

“Ini termasuk jawapan untuk setiap soalan yang diberikan pendengar kepada Aina semasa segmen yang mana ia diprogramkan oleh ahli pasukan bertugas pada hari itu,” jelasnya.

Tambahnya, hal ini bagi memastikan supaya konten yang dikeluarkan selari dengan tema dan tidak bercanggah dengan imej penaja untuk segmen berkenaan.

KEWUJUDAN penyampai radio AI bagaimanapun dilihat tidak menggugat kerjaya penyampai radio manusia kerana percakapan tulen masih diperlukan. – Gambar hiasan

Hurainya lagi, semua ahli pasukan yang bertugas dalam operasi Aina Sabrina merupakan anak tempatan yang bertungkus-lumus dari sifar, belajar bagaimana untuk menggunakan pelbagai aplikasi serta perisian bagi mewujudkan seorang penyampai radio AI.

Usaha tersebut dilakukan pihaknya bagi memastikan penglibatan penyampai radio AI dapat diteruskan dengan lebih ramai lagi persona untuk setiap stesen radio diwujudkan.

Selepas debut Aina Sabrina di FLY FM sebagai penyampai radio AI, seorang lagi persona AI iaitu Aidil Fikri telah diwujudkan. Aidil Fikri merupakan penyampai radio AI berbahasa Melayu pertama di Malaysia yang kini beroperasi di stesen radio Hot FM.

Meskipun penyampai radio AI akan ditambah, Amir Mirza dan Sean Farrell mengatakan bahawa ia bukanlah penanda kepada era penyampai radio fizikal akan berakhir.

Kata mereka, khidmat penyampai radio fizikal masih lagi signifikan dalam penyiaran audio kerana bukan semua ciri penyampai radio dapat dikendalikan sepenuhnya oleh AI.

“Radio adalah salah satu medium komunikasi dan dalam hal ini kita masih perlukan percakapan yang tulen antara manusia dan keupayaan untuk menghidupkan suasana serta mood.

“Personaliti sebenar hanya ada pada manusia dan ia tidak boleh diganti walaupun dengan AI tetapi kedua-dua elemen ini boleh digabungkan untuk menjadikan siaran radio lebih kompak,” jelas Sean Farrell.

Pada pandangan Amir Mirza pula, kewujudan AI bukan bermaksud akan menutup periuk rezeki penyampai radio tetapi ia membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam bidang teknologi maklumat terutama dalam bidang AI.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN