fbpx

SRC RM27 juta: Dijangka 20 ke 25 saksi beri keterangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib ketika hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. - Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Seramai 20 hingga 25 saksi pendakwaan dijangka dipanggil memberi keterangan bagi tiga lagi pertuduhan yang dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan pengubahan wang haram dana syarikat SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM27 juta.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Ashrof Adrin ketika pengurusan kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi K. Muniandy di sini hari ini.

Semasa prosiding, Mohd. Ashrof turut memaklumkan, pihaknya sedang menyiapkan pernyataan saksi sebelum menyerahkannya kepada pihak pembelaan.

“Setakat ini hanya satu pernyataan saksi telah siap dan kami memerlukan masa kira-kira tiga bulan untuk melengkapkan kerana bukan semua saksi berada di Lembah Klang manakala pernyataan itu saling berkaitan,” ujar beliau.

Mendengar perkara itu, Hakim K. Muniandy memberi tempoh dua bulan sehingga Mei ini bagi membolehkan pernyataan saksi disiapkan segera sebelum perbicaraan.

Bedasarkan tarikh-tarikh yang ditetapkan, Najib, 71, dijadual dibicarakan pada 17, 18,19, 23 dan 24 September ini.

Dalam pada itu, Mohd. Ashrof turut memaklumkan pihaknya belum memutuskan representasi yang dikemukakan oleh Najib bagi menggugurkan ketiga-tiga pertuduhan yang dihadapinya.

Sementara itu, peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan, pihak pembelaan masih menunggu keputusan representasi yang dikemukakan 1 Ogos 2023.

“Namun representasi masih belum ada keputusan, tidak adil pada anak guam saya,” ujar Muhammad Shafee.

Sehubungan itu, beliau memohon mahkamah menggunakan budi bicara untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) anak guamnya daripada pertuduhan tersebut.

Bagaimanapun, Hakim Muniandy tidak membuat sebarang perintah berhubung permohonan tersebut selepas Mohd. Ashrof memaklumkan arahan yang diterima setakat ini adalah supaya pendakwaan diteruskan.

Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak, Hakim Muniandy kemudian menetapkan 27 Mei ini bagi sebutan semula kes selain pihak pendakwaan diarah menyerahkan pernyataan saksi kepada pembelaan sebelum 20 Mei.

Pada 3 Februari 2019, Najib mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan pengubahan wang haram, iaitu menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya.

Najib didakwa melakukan kesalahan terbabit di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan, pada 8 Julai 2014.

Bekas Perdana Menteri itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Seksyen itu memperuntukan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI