fbpx

Pilih damai, MK mohon maaf secara terbuka kepada Tuju

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MK memilih jalan damai dengan Tuju.

AMPANG – Enggan perbalahan mengeruhkan hubungan persahabatan, penyanyi rap MK membuat permohonan maaf secara terbuka kepada bekas anggota kumpulan K-Clique iaitu Tuju atas segala kekhilafan yang dilakukan sebelum ini.

Ujar MK atau nama lengkapnya Muhammad Hairi Amin Hamdan, 28, salah faham yang berlaku antara mereka sebelum ini mungkin disebabkan kesilapan dirinya, namun bersyukur hubungan yang keruh kini kembali jernih.

“Hari ini (Ahad) saya sekali lagi memohon maaf secara terbuka kepada Tuju. Mungkin apa yang berlaku atas adalah disebabkan kesilapan saya sendiri, saya hanya manusia biasa.

“Sebenarnya kami pernah bertemu tanpa sengaja dalam penerbangan dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur sekitar tahun lalu.

“Semua ini adalah ketentuan Tuhan. Allah mengaturkan pertemuan tersebut dan di situ juga saya pernah meminta maaf kepada Tuju secara peribadi,” katanya kepada Kosmo! Online.

Tidak menyangka perdamaian mencetuskan satu kolaborasi, jejaka asal Sabah itu teruja dapat bekerjasama dengan Tuju dan tiga penyanyi rap lain iaitu Ghidd, Meerfly dan Benzooloo menerusi lagu Risiko terbitan Twntytwo Degree.

“Saya juga bersyukur dengan gabungan dalam lagu Risiko ini. Memang tiada perancangan mahupun apa-apa perbincangan sebelum ini.

“Kembali bersama Tuju adalah di luar jangkaan,” katanya ketika ditemui pada malam Risiko Pop Up Show, semalam.

Sebelum ini, Tuju memberitahu wujud salah faham antara dia dan K-Clique namun enggan mendedahkan punca perselisihan faham itu.

Tegas suami kepada penyanyi Loca B itu, keputusan meninggalkan kumpulan popular itu adalah pilihan dirinya sendiri.

Meskipun tidak bersama sebagai sebuah kumpulan, MK dan Tuju bergabung dalam Risiko yang mula dilancarkan sejak 22 Februari lalu.

Muzik video lagu tersebut menjalani penggambaran sekitar Kuala Lumpur dan dilakukan dalam tempoh hanya dua hari. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI