fbpx

Tarik lebih ramai pelancong asing ke Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyasarkan jumlah ketibaan kira-kira 27.3 juta pelancong pada tahun ini dengan pendapatan pelancongan berjumlah RM102.7 bilion.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, dalam masa sama kementerian juga menyasarkan kira-kira 31.4 juta pelancong berkunjung ke negara ini pada tahun 2025 dengan pendapatan pelancongan berjumlah RM125.5 bilion.

“Seterusnya bagi Tahun Melawat Malaysia 2026 adalah 35.6 juta pelancong dengan pendapatan pelancongan berjumlah RM147.1 bilion.

“Bagi tahun lalu pula, jumlah ketibaan pelancong yang direkodkan berjumlah 20.1 juta dengan pendapatan pelancongan berjumlah RM71.3 bilion,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Madius Tangau (PH-Tuaran) berhubung sasaran pulangan pelancongan kepada ekonomi negara selain langkah untuk menarik lebih ramai pelancong asing ke Malaysia.

Khairul Firdaus berkata, antara program dan langkah yang telah dilaksanakan kerajaan ialah mengumumkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang berupa agenda negara dalam pelancongan.

“Bagi menjayakan kempen tersebut MOTAC memerlukan sokongan padu kerajaan negeri, penggiat industri pelancongan negara serta sokongan rakyat dalam membuat persiapan rapi menerima kedatangan lebih ramai pelancong asing ke Malaysia.

“MOTAC melalui agensi seliaannya Tourism Malaysia akan meneruskan penyertaan aktif dalam pameran-pameran pelancongan antarabangsa seperti International Tourisme Bourse Berlin, World Travel Market London, Arabian Travel Mart Dubai, ASEAN Tourism Forum dan banyak lagi merangkumi pasaran utama seluruh dunia.

“Ini penting bagi memastikan penjenamaan Malaysia Truly Asia akan kekal menjadi pilihan pelancong seluruh dunia lebih-lebih lagi negara-negara pesaing sentiasa agresif mempromosikan destinasi masing-masing di pameran pelancongan utama tersebut,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI