fbpx

KKR perlu RM4 bilion setahun perbaiki jalan raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Cabaran utama dihadapi Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi melaksanakan tindakan proaktif memperbaiki mutu jalan adalah kekurangan peruntukan.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, KKR memerlukan hampir RM4 bilion bagi melaksanakan kerja-kerja penyenggaran dan naik taraf jalan raya di seluruh Malaysia setiap tahun.

Menurut beliau, jumlah itu akan dipohon sebelum pembentangan belanjawan, namun kerana kekangan kewangan kerajaan, KKR terpaksa akur hanya menerima 25 peratus daripada jumlah dipohon.

“Melalui libat urus bersama Menteri Besar Johor, Negeri Sembilan dan Pahang baru-baru ini, isu kekurangan peruntukan penyenggaraan jalan raya turut diberi penekanan.

“Contohnya, Menteri Besar Pahang menyatakan kerajaan Pahang hanya menerima RM120 juta daripada RM600 juta yang dipohon bagi penyelenggaraan dan naik taraf jalan raya di negeri itu.

“Sudah tiba masa semua pihak terlibat dalam penyelenggaraan jalan bersatu dan bekerjasama menyediakan infrastruktur jalan raya yang selamat, selesa dan berdaya tahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Alexander berkata, atas dasar itu, program MYJalan telah dicetuskan bagi mempertingkatkan kebertanggungjawaban semua pihak dalam memastikan kualiti infrastruktur jalan raya yang selamat dan selesa.

Kata beliau, melalui program dan aplikasi aduan one stop centre MYJalan, data-data kerosakan jalan yang diterima dapat digunakan bagi mengenal pasti keperluan kewangan yang mendesak bagi memperbaiki jalan-jalan rosak di seluruh negara.

“Ini penting demi memastikan keselamatan nyawa pengguna jalan raya,” katanya.

Terdahulu, katanya, beliau menyambut baik keputusan kerajaan untuk menyiarkan statistik kes kematian akibat kemalangan secara ‘real time’ setiap hari bagi meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya.

Jelas beliau, salah satu faktor yang sering dikaitkan dengan kemalangan jalan raya adalah keadaan infrastruktur jalan raya iaitu sebanyak 13.2 peratus berbanding kesalahan pemandu (80.6 peratus) dan keadaan kenderaan (6.2 peratus).

Kata beliau, walaupun kajian menunjukkan faktor jalan dan persekitaran hanya menyumbang kurang daripada 15 peratus, namun pengguna jalan raya akan menghadapi peningkatan risiko kemalangan kerana kerosakan jalan seperti retak permukaan dan jalan berlubang.

“Sebagai Menteri Kerja Raya, saya menyedari situasi ini dan pasukan di kementerian dan semua agensi di bawahnya yang terlibat seperti Jabatan Kerja Raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia sentiasa berusaha untuk melaksanakan tindakan proaktif bagi memperbaiki mutu jalan raya.

“Namun antara cabaran utama untuk merealisasikan inisiatif ini sepenuhnya berkait rapat dengan kekurangan peruntukan yang disalurkan kepada KKR pada setiap tahun,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI