fbpx

Sabah pantau sebarang penganjuran program dakwah babit Maula al-Amin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Arifin (empat dari kanan) ketika mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bagi merasmikan Simposium Antarabangsa Turath Sabah (SATS) 2024 di Kota Kinabalu. -Foto IVAN AMIRUL

KOTA KINABALU – Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) belum menerima sebarang laporan berkaitan penganjuran siri jelajah membabitkan seorang lelaki warganegara Maghribi dikenali sebagai Mawla Mohamed Amin al-Hassani yang mendakwa dirinya mempunyai jalur keturunan ke-38 daripada Nabi Muhammad SAW.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Exco Agama serta Pendidikan, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, MUIS setakat ini tidak memberi sebarang tauliah kepada pihak berkaitan untuk menjalankan sebarang aktiviti dakwah.

“Sesiapa sahaja yang datang ke negeri ini untuk berdakwah atau mengajar agama mesti mendapat tauliah yang kita salurkan melalui Pejabat Mufti Negeri Sabah.

“Saya sendiri dari semasa ke semasa sentiasa meminta dan berbincang bersama mufti negeri serta Yang di-Pertua MUIS berhubung perkara ini agar pemantau secara berterusan dapat dibuat,” katanya ketika ditemui media selepas mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bagi merasmikan Simposium Antarabangsa Turath Sabah (SATS) 2024 hari ini.

Ditanya mengenai tindakan bakal diambil sekiranya program jelajah berkenaan dilaksanakan di Sabah, Mohd Arifin memaklumkan pihaknya akan membawa perkara terbabit kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) berikutan jabatan berkenaan memiliki bidang penyiasatan dan penguatkuasaan.

Terdahulu, orang awam dinasihatkan supaya berwaspada dengan sebarang maklumat atau dakwah di media sosial berkaitan seorang lelaki digelar Maula al-Amin yang mendakwa berada dalam jalur keturunan Nabi Muhammad SAW.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, perkara itu perlu ditapis dengan ilmu selain merujuk kepada pihak berkuasa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI