fbpx

Nasib Siti Bainun terhadap rayuan kes Bella diketahui 24 April

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Bainun ketika dibawa ke Mahkamah Tinggi di sini hari ini. Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 24 April ini bagi keputusan rayuan sabitan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down Bella.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar hujahan daripada peguam Haijan Omar, Nur A’minahtul Mardiah Md. Nor dan Nurul Hafidzah Hassan yang mewakili Siti Bainun selaku perayu dan Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria dan Analia Kamaruddin yang bertindak sebagai responden.

“Mahkamah telah meneliti kesemua hujahan lisan daripada kedua-dua pihak, maka saya akan beri alasan penghakiman ringkas pada tarikh itu,” kata Hakim Noorin.

Pada 3 Mei tahun lalu Siti Bainun, 32, dijatuhi hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella yang disabitkan ke atasnya.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya mangsa yang berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan remaja itu cedera fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini pada Februari hingga Jun 2021.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan pertama, Siti Bainun dipenjara 10 tahun manakala bagi pertuduhan kedua tertuduh dipenjara 12 tahun. Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh sabitan.

Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan Siti Bainun gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan dua pertuduhan tersebut.

Pada masa sama, mahkamah turut menolak permohonan Siti Bainun untuk menangguhkan hukuman penjara 12 tahun yang dijatuhkan ke atasnya sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Berikutan itu, Siti Bainun menjalani hukuman penjara serta-merta di Penjara Kajang bermula tarikh disabitkan dengan kesalahan tersebut.  – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI