fbpx

Dewan Rakyat: KTMB terima 10 set ETS baharu tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menerima sebanyak 10 set tren elektrik (ETS) baharu sebagai tambahan kepada 24 set ETS sedia ada.

Menteri Pengangkutan (MOT), Anthony Loke Siew Fook berkata, set ETS baharu tersebut dijadualkan akan digunakan untuk operasi secara berperingkat mulai awal tahun 2025.

“Jumlah perkhidmatan ETS pada tahun 2023 sebanyak 32 trip sehari. Dengan penambahan 10 set tren ETS baharu dijangka sehingga 64 trip sehari boleh dilaksanakan.

“Jumlah penumpang dijangka meningkat kepada 7,547,565 orang setahun berbanding 4,115,242 orang tahun lalu apabila semua set ETS itu beroperasi,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) adakah Kementerian Pengangkutan bercadang menambah gerabak penumpang ETS oleh kerana permintaan pengguna ETS semakin meningkat.

Dalam pada itu, Anthony Loke berkata, trip perkhidmatan KTMB akan ditambah setiap kali musim perayaan bagi memastikan lebih ramai orang dapat menggunakan perkhidmatan kereta api pulang ke kampung masing-masing.

Justeru, katanya, pada tahun ini, pihaknya akan melancarkan tambahan trip perkhidmatan KTMB beberapa minggu sebelum sambutan Aidilfitri.

“Walaupun tambah trip, tetapi tidak ramai akan dapat gunakan perkhidmatan ETS. Mungkin 20,000 hingga 30,000 orang sahaja sedangkan yang nak balik kampung berjuta-juta orang.

“Jadi memang sukar untuk nyatakan perkhidmatan tren ini dapat menampung permintaan semua, cuma kita mengharapkan rakyat terutama anak-anak muda lebih banyak guna pengangkutan awam termasuk bas ekspres.

“Kita akan tambah bas ekspres sementara untuk musim perayaan supaya mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan motosikal untuk pulang ke kampung,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI