fbpx

Rayuan sabitan, hukuman Isa Samad diketahui esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Isa.

PUTRAJAYA – Selepas tertangguh sebanyak dua kali, Mahkamah Rayuan di sini esok dijangka akan memberi keputusan terhadap rayuan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berhubung sabitan dan hukuman penjara serta denda yang dikenakan terhadapnya selepas didapati bersalah atas tuduhan rasuah.

Pada prosiding itu, keputusan itu akan dibuat oleh panel tiga hakim yang diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S.M Komathy Suppiah.

Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Mohd. Isa, 74, atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49 Menara Felda, Platinum Park, No 11 Persiaran KLCC di sini antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) yang mendengar kes itu telah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan dan denda RM15.45 juta atau penjara 18 tahun jika gagal membayar denda itu ke atas Mohd. Isa.

Hakim itu ketika memutuskan penghakimannya berpendapat pembelaan yang dikemukakan Mohd. Isa adalah satu perkara yang difikirkan kemudian, tidak konsisten dan hanyalah satu penafian tanpa sokongan berasas atau boleh dipercayai.

Bagaimanapun, Mohd. Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara selama enam tahun apabila mahkamah memerintahkan kesemua hukuman penjara berjalan serentak.

Mohd. Isa, yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, kemudian telah memfailkan notis rayuan pada 4 Februari 2021.

Sebelum ini, semasa prosiding rayuan 16 Oktober 2023, peguam bela, Datuk Salehuddin Saidin, berkata anak guam perlu dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan kerana fakta kes menunjukkan tiada bukti Mohd. Isa menerima wang berkenaan.

Beliau juga berhujah bahawa Mahkamah Tinggi menggunakan prinsip undang-undang salah kerana gagal memberi perhatian sewajarnya kepada semua keterangan yang tidak dinilai secara keseluruhan sebelum membuat kesimpulan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz, berhujah Mohd. Isa berhasrat untuk mendapatkan suapan walaupun tidak berurusan secara langsung dengan ahli perniagaan Sarawak, Ikhwan Zaidel, dalam mana-mana urus niaga yang membabitkan jumlah berkenaan.

Suapan berkenaan dikatakan diterima oleh Mohd Isa melalui bekas pembantunya, Muhammad Zahid Arip Zahid.

Mohd. Isa kini berada dalam jaminan sebanyak RM1.5 juta dan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan sehingga rayuan kes itu selesai. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI