fbpx

Lelaki didakwa kemuka dokumen tuntutan palsu lebih RM6,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang ketua penolong setiausaha bahagian pengurusan teknologi maklumat (IT) sebuah kementerian didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan mengemukan dokumen tuntutan palsu membabitkan kerugian lebih RM6,000.

Bagaimanapun tertuduh Ku Aznal Shahri Ku Abd Hamid, 49, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan 11 pertuduhan utama dan 10 pertuduhan pilihan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut kesemua pertuduhan tertuduh didakwa telah membuat tuntutan palsu membabitkan sewaan lima hotel berjumlah RM5,344, elaun perjalanan dan tol masing-masing membabitkan jumlah RM645.50 serta RM63.40.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat pengurusan IT sebuah kementerian di, Putrajaya, antara 2 Mei dan 7 Ogos 2018.

Bagi kesemua pertuduhan pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan dengan masing-masing boleh boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta SPRM serta Seksyen 465 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Seksyen 18 memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Sementara Seksyen 471 membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, pegawai pendakwa SPRM, Mohd. Yasri Yahya, mencadangkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserah kepada mahkamah, melapor diri di pejabat agensi itu setiap bulan dan tidak mengganggu saksi.

Peguam bela tertuduh, G. Sylvester tidak membantah dengan syarat-syarat jaminan yang dicadangkan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin selain pasport diserah kepada mahkamah.

Tarikh 18 April ini ditetapkan sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI