fbpx

Bukan fizikal mereka kami nantikan, tetapi jawapan sebenar kejadian – Waris MH370

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar Intan Maizura yang dikongsi di laman Instagramnya semalam.

PETALING JAYA – Rata-rata ahli keluarga mangsa nahas pesawat MH370 sedang menanti satu jawapan yang benar tentang kejadian yang berlaku kira-kira sedekad yang lalu.

Perkara itu diluahkan Intan Maizura Othaman yang juga isteri kepada pramugara MH370, Mohd Hazrin Mohamed Hasnan menerusi satu hantaran di laman Instagramnya semalam.

Menurut Intan Maizura, sehingga kini dia dan ahli keluarga masih menunggu satu jawapan kepada tragedi yang tidak terduga itu.

“Harapan Intan mestilah kami berharap untuk dapatkan jawapan yang benar sebab mereka ini semua manusia. Kami ada anak-anak dan keluarga.

“Dan fitrah manusia nak tahu ke mana perginya benda yang hilang. Bukan fizikal mereka yang kami nantikan tapi jawapan atas apa yang sebenarnya berlaku,” tulisnya.

Intan Maizura berkata, walaupun lebih sedekad dia dan ahli keluarga ‘move on’ dengan kejadian itu, namun insiden itu perlu telus dan ada kebenaran disebaliknya untuk keselamatan semua.

“Kami dah sedekad move on. Kami dah sedekad terima qada dan qada Allah. Kami dah sedekad redha dengan ketentuanNya.

“Ini penting untuk industri penerbangan supaya kejadian ini tidak lagi berulang dan menyebabkan keluarga lain merana seperti mana yang kami lalui dan rasa.

“Dan juga untuk kembalikan kepercayaan sepenuhnya kepada industri penerbangan dunia,” katanya.

Pada hantaran sama, Intan Maizura berterima kasih dan berharap agar masyarakat terus berdoa kepada semua mangsa dalam tragedi MH370.

“Satu sahaja pinta Intan dari semua, jangan lupa doakan mereka walau apa sekalipun. Pohon doakan mereka (mangsa MH370).

“Terima kasih banyak semua atas doa dan ingatan kalian semua kepada MH370,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI