fbpx
Gambar hiasan

Tekad rampas semula Piala Thomas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TANPA kita sedar, sudah 32 tahun berlalu sejak kali terakhir Malaysia mendakap kejuaraan Piala Thomas, iaitu kejohanan yang dianggap paling agung dalam sukan badminton dan sentiasa menjadi rebutan pasukan bertanding.

Selepas beberapa kali mencuba untuk membawa pulang trofi keramat itu ke tanah air, Malaysia sekadar berpuas hati dengan gelaran naib juara apabila tewas di perlawanan akhir pada edisi 1994, 1998, 2002 dan 2014.

Pada saingan musim ini, Malaysia sekali lagi memiliki peluang untuk merampas trofi berkenaan menjelang kejohanan Piala Thomas 2024 yang dijadualkan berlangsung di Chengdu, China bermula 28 April hingga 5 Mei depan.

Bagaimanapun, kita seharusnya realistik dengan peluang untuk merangkul Piala Thomas buat kali keenam berdasarkan kemampuan yang dimiliki skuad badminton lelaki negara pada ketika ini.

Bukanlah mahu menafikan kemampuan serta kehebatan pemain-pemain negara, namun kita harus sedar bahawa pasukan kita masih ketinggalan jika dibandingkan dengan pasukan-pasukan kuasa besar yang lain seperti China dan Indonesia.

Ia dapat dibuktikan menerusi pencapaian pasukan kita pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2024 bulan lalu di mana menyaksikan Malaysia muncul naib juara dan gagal mempertahankan kejuaraan yang dimenangi dua tahun lalu.

Dalam aksi final pada kejohanan dwitahunan itu, Malaysia terpaksa akur dengan kekalahan mudah 0-3 kepada China biarpun pasukan lawan boleh dikatakan hanya menurunkan ‘pasukan B’ mereka.

Justeru, kita perlu menerima hakikat bahawa kita belum benar-benar bersedia untuk mencabar takhta kejuaraan Piala Thomas meskipun setiap pasukan memiliki peluang bagi merebut piala dunia badminton itu.

Perkara itu diakui sendiri Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky yang menyifatkan pasukan lelaki negara belum cukup sempurna bagi menjadi pencabar utama pada kejohanan di Chengdu nanti.

“Pasukan Malaysia memang kuat dan ada peluang jadi juara Piala Thomas tetapi tugas kita sekarang adalah bagaimana mahu menjadikannya lebih mantap. Ia memerlukan komitmen serta tanggungjawab sebagai satu pasukan.

“Kita tidak mahu hanya kelihatan kuat sahaja, sedangkan pada hakikatnya diibaratkan seperti tong kosong yang berbunyi kuat. Ini yang perlu diperbaiki, termasuk semangat patriotik untuk bermain di Piala Thomas,” katanya.

Meskipun kenyataan itu dianggap keras, namun bagi penulis, ia boleh dijadikan sebagai pembakar semangat buat pemain-pemain negara dan mereka perlu menjadikannya sebagai cabaran kepada diri sendiri.

Masa yang berbaki lebih kurang dua bulan sahaja lagi perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh pemain-pemain negara, tidak kira yang bernaung di bawah ABM ataupun bergerak secara profesional untuk memperbaiki kelemahan masing-masing.

Pemain-pemain negara perlu membuktikan kemampuan yang dimiliki selari dengan kepercayaan yang ditunjukkan Presiden Persatuan Badminton Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria bahawa Malaysia mampu menjuarai Piala Thomas.

“Jika dilihat pada persediaan untuk ke Piala Thomas, sekiranya kita buat persiapan lebih baik, saya yakin dan percaya bahawa kita mampu untuk memberikan saingan kepada kuasa-kuasa besar yang lain bagi merampas Piala Thomas,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN