fbpx

Lelaki dipenjara sehari seret anjing dengan rantai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh (baju belang) ketika hadir di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, hari ini. Foto IQBAL HAMDAN

SEBERANG PERAI – Seorang peniaga kuih dipenjara sehari dan didenda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, di sini, selepas mengaku bersalah mendera seekor anjing dengan menyeret haiwan itu menggunakan rantai sambil menunggang motosikal, November tahun lalu.

Tertuduh, Tan Chee Keong, 45, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam Bahasa Hokkien di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati secara tidak wajar melakukan perbuatan yang menyebabkan kesakitan iaitu menyeret seekor anjing betina baka mongrel berwarna coklat di permukaan lantai menggunakan seutas rantai sepanjang 182 sentimeter (cm) dengan menggunakan motosikal jenis Yamaha LC.

Anjing betina baka mongrel turut dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, hari ini.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 12.06 tengah malam pada 21 November 2023 di Jalan Sukun Indah 1, Taman Sukun Indah, Bukit Mertajam.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah subseksyen 44(1)(d) Akta Binatang (Pindaan) 2013 [Akta A1452] dan boleh dihukum di bawah subseksyen 44(1) akta yang sama dengan membawa hukuman didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri, Roziman Awang Tahrin manakala tertuduh pula diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Anas Hakimi.

Semasa prosiding, Anas meminta agar hukuman ringan dikenakan ke atas tertuduh memandangkan dia tidak bekerja selain mempunyai seorang isteri lumpuh dan anak yang masih bersekolah rendah.

Menurut Anas, tertuduh juga telah insaf di atas perbuatannya itu selain kesalahan tersebut juga kali pertama dilakukannya.

Bagaimanapun, Roziman berharap agar hukuman yang setimpal diberikan terhadap tertuduh kerana perbuatan menyeksa binatang itu tidak boleh dianggap ringan.

Mohd. Harith kemudiannya memerintahkan supaya tertuduh dipenjara selama satu hari selain didenda sebanyak RM12,000 dan kegagalan membayar denda tersebut akan menyebabkan tertuduh terpaksa menjalani hukuman penjara tambahan selama enam bulan.

Tertuduh telah membayar denda yang dikenakannya pagi tadi dan dibawa ke Penjara Seberang Perai di Jawi untuk menjalani hukuman penjara selama sehari. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI