fbpx

6,394 guru bersara secara pilihan tahun lalu – KPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkam seramai 6,394 pegawai perkhidmatan pendidikan atau guru memilih bersara secara pilihan pada tahun lalu.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata, jumlah tersebut mewakili kira-kira 1.49 peratus daripada keseluruhan guru di negara ini.

Menurutnya, jumlah tersebut menunjukkan sedikit peningkatan berbanding tahun sebelumnya, iaitu 5,306 atau 1.23 peratus daripada jumlah keseluruhan guru.

“KPM telah melaksanakan Kajian Tinjauan Faktor-Faktor Persaraan Awal Guru dan Kaitannya dengan Pembangunan Profesionalisme Keguruan pada 2022.

“Dapatan kajian menunjukkan bahawa antara faktor guru memilih persaraan awal bersara pilihan ialah kedudukan kewangan stabil, faedah persaraan, masalah kesihatan dan perubahan pelaksanaan dasar dan pendigitalan pendidikan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) yang mahu tahu adakah terdapat peningkatan jumlah guru yang bersara awal dan faktor menyebabkan peningkatan jumlah tersebut serta penyelesaian holistik kerajaan dalam menangani isu tersebut.

Mengulas lanjut, Kah Woh berkata, KPM telah mengumumkan 10 perkara bagi menjaga kebajikan guru antaranya memperkasakan pengurusan pengambilan guru agar kekosongan di sekolah dapat dipenuhi dengan segera dan ini memberikan semangat baharu kepada guru-guru.

“KPM juga prihatin terhadap tahap kesejahteraan psikologi guru dengan menyediakan kemahiran pengurusan emosi, kawalan diri dan amalan harian yang positif berdasarkan tahap kesejahteraan psikologi yang dinilai melalui Inventori Kesejahteraan Psikologi (IKPsi).

“Selain itu, KPM turut menyediakan perkhidmatan kaunseling, konsultasi dan advokasi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI