fbpx

Mahkamah: Mas Ermiyanti kekal MP Masjid Tanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mas Ermieyati (tengah)

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini hari ini mengekalkan kedudukan Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah.

Dengan keputusan itu, kedudukan Naib Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu tidak lagi boleh dicabar sehingga Parlimen dibubarkan.

Panel tiga hakim diketuai Tan Sri Nallini Pathmanathan dan bersidang bersama Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Abu Bakar Jais sebulat suara memutuskan demikian dalam rayuan calon Barisan Nasional (BN), Abdul Hakim Abdul Wahid.

Pada 10 November 2023, Abdul Hakim memfailkan notis rayuan selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Mahkamah Pilihan Raya, Datuk Abu Bakar Katar yang menolak petisyen pilihan raya yang dikemukakannya.

Mahkamah Pilihan Raya Melaka pada 27 Oktober 2023 mengekalkan kemenangan Mas Ermieyati selepas memutuskan pempetisyen (Abdul Hakim) gagal membuktikan wujud elemen rasuah pada kempen PRU15.

Ketika membacakan penghakiman ringkas, Hakim Nallini menyatakan tiada sebarang bukti menunjukkan pengundi Masjid Tanah dipengaruhi atau didorong untuk mengundi dalam cara atau pihak tertentu.

“Dalam kes ini, pengundi yang mengundi secara rawak diminta untuk ke sebuah rumah di belakang sebuah restoran makanan segera yang mana wang sedang diagihkan dan mereka berbuat demikian. Bagaimanapun isu di sini ialah sama ada wang tersebut menjurus kepada rasuah.

“Oleh kerana, pengundi-pengundi itu telah mengundi dan bebas sebarang pengaruh oleh ejen sebelum membuat undi, tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai wang diagihkan di sebuah rumah maka bagaimana hendak mengatakan wang itu mempengaruhi undian mereka?

“Kami tidak berfikiran begitu. Ini kerana peruntukan akta itu sendiri mengkehendaki elemen dorongan dibuktikan terlebih dahulu. Tidak berlaku sebarang rasuah mengikut Seksyen 10(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 jika elemen dorongan tidak dibuktikan,” kata Hakim Nallini.

Selain itu, panel terbabit turut menyatakan Hakim Pilihan Raya tidak terkhilaf apabila memutuskan jamuan yang dibuat selepas proses pengundian yang turut disertai oleh saksi-saksi Abdul Hakim bukan satu bentuk rasuah.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15, Mas Ermieyati yang juga Ketua Bersatu Masjid Tanah menang dengan majoriti 4,411 undi dalam saingan empat penjuru selepas memperoleh 25,604 undi.

Beliau menewaskan Abdul Hakim yang memperoleh 21,193 undi, calon MUDA, Mutalib Uthman (7,445 undi) dan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Handrawirawan Abu Bakar (507 undi). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI