fbpx

Dewan Rakyat: Program pembangunan tanaman bawang langkah kurangkan import

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melaksanakan program pembangunan tanaman bawang melibatkan dua fasa dalam memenuhi matlamat mengurangkan import bawang ke negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, fasa pertama iaitu pra-komersial bertujuan melihat potensi penanaman bawang kecil di Malaysia melibatkan tempoh pelaksanaan selama dua tahun bermula tahun 2024 sehingga 2025.

“Sebanyak 70 tan metrik benih bebawang kecil dan 230 kilogram (kg) biji benih bawang kecil akan dibekalkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dalam fasa ini.

“Bagi program penanaman, seluas 100 hektar kawasan penanaman bawang akan dibangunkan iaitu 50 hektar pada tahun 2024 dan 50 hektar pada tahun 2025 dengan jangkaan hasil pengeluaran sebanyak lima tan metrik per hektar.

“Penanaman bawang ini boleh dilaksanakan sebanyak dua kali setahun. Dijangkakan pengeluaran bawang bagi fasa ini adalah sebanyak 1,000 tan metrik,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, bagi fasa kedua iaitu komersial, tempoh pelaksanaan selama lima tahun iaitu bermula pada tahun 2026 sehingga 2030.

“Seluas 1,347 hektar kawasan penanaman bawang akan dibangunkan dengan jangkaan hasil pengeluaran sebanyak 14,470 tan metrik. Ini akan dapat memenuhi keperluan tempatan sebanyak 30 peratus pada tahun 2030.

“Pada masa ini, penanaman bawang kecil telah dimulakan di kawasan Pertubuhan Peladang di Perlis dan Selangor seluas 1.2 hektar dan di Ladang Bikam, Perak seluas satu hektar. Penuaian pertama adalah dijangka pada bulan April 2024,” jelasnya.

Mohamad berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) berhubung strategi KPKM dalam memenuhi matlamat untuk mengurangkan import bawang sebanyak 30 peratus ketika ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI