fbpx

Bekas pengurus Felda didakwa 13 pertuduhan pecah amanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH dibawa keluar dari mahkamah selepas dadakwa atas 13 pertuduhan pecah amanah di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Seorang bekas pengurus Felda didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 13 pertuduhan pecah amanah membabitkan wang kira-kira RM54,000 pada 2020.

Tertuduh, Shahril Shahadan, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Mengikut kesemua kertas pertuduhan, tertuduh menyalahgunakan harta iaitu 13 keping cek bernilai RM1,400 hingga RM5,000 yang berjumlah keseluruhan sebanyak RM54,742.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan terbabit di sebuah bank cawangan bandar pusat Jengka dari 23 Januari 2020 hingga 29 September 2020.

Bagi kesemua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang enam bulan dengan sebatan dan denda jika didapati bersalah.

Dalam pada itu tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas 13 pertuduhan pilihan melakukan pecah amanah jenayah iaitu secara tidak jujur melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seskyen 406 Kanun Keseksaan.

Bagi kesemua pertuduhan pilihan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun dan sebat serta denda.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rifah Izzati Abdul Mutalif menawarkan jaminan sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.

Rifah Izzati turut memohon syarat tambahan daripada mahkamah supaya tertuduh melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM selain menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Tertuduh yang diwakili peguam, Siti Azizah Mulian dan Roshidah Osman merayu agar jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh menanggung empat anak yang masih bersekolah, ibu dan bapa yang sakit serta ibu dan bapa mertua.

Hakim memutuskan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 selain perlu melapor diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 5 April depan sebagai tarikh sebutan kes dan serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI