fbpx
AHMAD ZHAFRAN menunjukkan koleksi setem dan buku lama pengakap yang berada dalam simpanannya di Pasir Puteh, Kelantan. Dia juga mengumpul skaf, poskad, lencana, sampul surat pertama dan segala barangan pengakap.

Kumpul ratusan ribu setem, poskad, buku pengakap seluruh dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MINATNYA dalam dunia pengakap seperti tiada penghujungnya.

Bermula sejak zaman kanak-kanak hingga ke usia dewasa, dia tanpa jemu menghidupkan aktiviti pengakap sebagai hobi tersendiri.

Sejak di bangku sekolah menengah dan kini bertugas sebagai pendidik, aktiviti pengakap menjadi sebahagian kehidupannya.

Penolong Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pasir Puteh, Kelantan, Ahmad Zhafran Mohd. Nor, 36, berkata, hampir 20 tahun dia bergiat aktif dalam Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) termasuk memikul tugas memimpin pengakap di beberapa buah sekolah di Kuala Lumpur dan Negeri Che Siti Wan Kembang.

Menurutnya, dia juga minat mengumpul pelbagai koleksi berkaitan pengakap sejak 12 tahun lalu sehingga sanggup membelanjakan puluhan ribu ringgit membeli pelbagai barangan.

“Sehingga kini, saya berjaya mengumpulkan 100,000 keping setem pengakap seluruh dunia, 500 keping lembaran mini dan beratus ribu sampul surat pertama pengakap.

“Ia bukan untuk perniagaan atau dijual tetapi hanya sekadar hobi. Barangan koleksi ini disimpan di sebuah rumah yang disewa khas untuk tatapan mereka berminat menyaksikannya,” katanya ketika ditemui K2 di rumahnya di Seri Aman, Pasir Puteh baru-baru ini.

Guru pemimpin pengakap Sekolah Kebangsaan Bukit Awang itu memberitahu, dia memiliki lebih 50 koleksi skaf program pengakap yang pernah disertainya dan ada dibeli daripada kenalan di negeri lain.

Menurutnya, pelbagai buku lama berkaitan pengakap dalam bahasa Melayu dan Inggeris turut dikumpulkan sebagai bahan bernilai tinggi untuk tatapan generasi masa kini dan akan datang.

“Saya juga menyimpan buku berjudul Scouting For Boys cetakan pertama Hazell Watson and Viney LTD, England pada tahun 1932 yang dibeli pada harga RM60.

“Lain-lain koleksi buku lama pengakap ialah Panduan Anak Serigala (1953), Scout Ceremonies (1959), Panduan Kepala Patrol Persekutuan Pengakap Malaysia dan banyak lagi,” ujarnya.

Sebahagian setem pengakap yang dikumpul oleh Ahmad Zhafran.

Ahmad Zhafran berkata, buku fiksyen pengakap yang paling disayanginya ialah Tragedi Empat Disember karya Dzul Karmen keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1979.

Menurutnya, kebanyakan buku yang dicetak dalam bahasa Melayu adalah dalam ejaan lama.

“Saya juga mengumpul koleksi lencana dan poskad pengakap seluruh dunia serta manuskrip zaman silam pengakap Malaysia.

“Saya membelanjakan paling kurang RM300 setiap bulan untuk mendapatkan koleksi pengakap yang dianggap bernilai,” katanya.

Ceritanya, semua koleksinya itu disusun mengikut aturan katalog dan didaftarkan mengikut susunan abjad bagi memudahkan pencarian.

Katanya, poskad dan setem disimpan khusus dalam susunan fail tebal bagi memastikan keasliannya terus kekal serta tidak mudah rosak.

Jelas Ahmad Zhafran, koleksinya meliputi seluruh negara di dunia (kecuali negara komunis atau sosialis yang tiada pengakap).

Antaranya, Malaysia, Indonesia, Brunei, Amerika Syarikat, Thailand, Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu, United Kingdom, Jepun dan negara-negara Afrika.

“Yang rare, saya juga mempunyai koleksi dari Laos iaitu salah satu daripada empat negara berdaulat yang tiada pengakap di dunia.

“Pengakap pernah wujud di negara ini sebelum diharamkan kerajaan komunis pada tahun 1975,” katanya.

Menurutnya, koleksinya banyak diperoleh melalui laman beli-belah dalam talian sama ada aplikasi eBay, Shopee dan Lazada.

“Ada juga aktiviti tukar-menukar setem dengan rakan sehobi dalam Facebook, Filateli Hobi Teragung (FHT) dan Pengumpul Setem Pengakap.

“Saya beli melalui talian daripada ahli pengakap atau pengumpul setem pengakap negara terbabit,” katanya.

Menurutnya, koleksi itu pastinya boleh dijual pada harga mahal, namun minatnya hanya sebagai pengumpul dan bukannya penjual yang menilai keuntungan tanpa menghargai sejarah pengakap.

ebahagian setem pengakap yang dikumpul oleh Ahmad Zhafran.
CHE AZMY

Sementara itu, Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pasir Puteh, Che Azmy Che Yusof, 62, berkata, tiada noktah bagi seorang ahli pengakap untuk terus bergiat dalam aktiviti kesukarelaan khususnya memastikan PPM kekal aktif.

Menurutnya, selagi terdaya dan diberikan kesihatan, usaha memantapkan PPM dan pasukan di bawahnya direncanakan tanpa meletak istilah pencen meskipun sudah bersara sebagai penjawat awam.

Bekas Penolong Kanan Pentadbiran (PKP), Sekolah Kebangsaan (SK) Kulim, Pasir Puteh yang sudah enam tahun bersara itu berkata, dunia pengakap sudah sebati dengan dirinya.

“Cinta saya kepada pasukan pengakap berputik pada tahun 1973 ketika bersekolah di SK Kem Terendak, Melaka.

“Minat itu dikembangkan di sekolah menengah, maktab perguruan dan bekerja sebagai guru pemimpin pengakap SK Bukit Awang pada tahun 1984.

“Sehingga kini, saya diamanahkan memikul tugas pemimpin nombor satu di daerah Pasir Puteh walaupun pada usia yang semakin meningkat,” katanya ketika ditemui di Kem Rambo Pengakap 2024 Pasir Puteh baru-baru ini.

Che Azmy memberitahu, dia sudah menyertai beratus-ratus program termasuk perkhemahan pengakap.

Ceritanya, menyertai Jambori Pengakap Asia Pasifik di Terengganu pada tahun 1987 merupakan pengalaman paling manis sepanjang kariernya dalam persatuan itu.

Menurutnya, setakat ini, banyak skaf perkhemahan, lencana dan uniform lama masih tersimpan sebagai koleksi.

Beliau yang pernah dilantik sebagai Penolong Pesuruhjaya Pengakap Negeri Kelantan berkata, Pasir Puteh merupakan salah satu daerah yang aktif menyumbang penyertaan ahli pada setiap tahun.

“Lebih 1,000 ahli Pasukan Pengakap Kanak-Kanak (PKK), 120 pengakap remaja, 230 pengakap muda dan 125 pengakap Kelana menyertai pengakap pada tahun lalu.

“Saya sudah biasa mengadakan kursus dan mengurus perkhemahan kerana ia merupakan satu kepuasan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN