PELAJAR sekolah pada masa ini berada dalam musim cuti sekolah yang mana membuatkan sesetengah ibu bapa dalam keadaan dilema.
Hal ini berikutan mereka perlu merancang aktiviti untuk memanfaatkan cuti sekolah.
Pelbagai persoalan timbul sama ada perlu anak-anak diasak dengan program bersifat akademik bagi memastikan penguasaan pembelajaran akademik sebelum naik ke darjah dan tingkatan baharu atau adakah ini masanya untuk meneroka potensi serta kecenderungan diri, kemahiran dan minat kecenderungan anak-anak?
Dalam sama yang sama, ada juga yang menganggap ini masanya untuk pihak sekolah, universiti dan badan bukan kerajaan (NGO) memperlengkapkan diri pelajar dengan sosialisasi, perpaduan, sahsiah jati diri Malaysia serta perwatakan diri khususnya dalam mendepani cabaran pendigital pendidikan negara.
Bagi mendapatkan ulasan lanjut tentang situasi ini, wartawan Kosmo! Ahad, Ghazali Alias menemu bual Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar) Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Mohd. Nazri Abdul Rahman yang mempunyai kepakaran dalam pendidikan kanak-kanak untuk memberikan pandangan beliau.
Kosmo! Ahad: Kini kita di musim cuti sekolah, reaksi ibu bapa khususnya antara gembira atau risau. Bolehkah Prof. nasihatkan persediaan sewajarnya oleh ibu bapa setiap kali melalui cuti persekolahan?
Prof. Madya Dr. Mohd. Nazri: Dalam musim cuti sekolah, ibu bapa perlu melakukan persediaan sewajarnya antaranya dengan memahami keperluan pembelajaran anak-anak.
Anak-anak memerlukan rehat atau masa santai yang mencukupi untuk pertumbuhan dan perkembangan mental serta fizikal. Malah, cuti sekolah ini adalah masa terbaik untuk mereka ‘lapangkan diri’ daripada kesibukan dunia persekolahan dan meredakan tekanan emosi sewaktu masa persekolahan.
Tambahan, pada zaman digital hari ini, generasi strawberry ini rapuh emosinya.
Ibu bapa juga perlu beri sokongan kepada anak-anak untuk ‘recharge’ atau mengumpul semula tenaga yang telah digunakan sepanjang persekolahan dengan menyeimbangkan masa rehat, komunikasi (eratkan ikatan) untuk memastikan anak-anak bersemangat kembali ke sekolah nanti.
Ketika cuti sekolah, ibu bapa juga dalam dilema. Jika anak-anak terus berada di rumah, pastinya bermain gajet, video game atau melayani media sosial, tetapi jika ingin menghantar ke program berbentuk akademik, ia mungkin akan membebankan anak-anak. Apakah saranan Prof. kepada ibu bapa dalam memilih aktiviti cuti sekolah anak-anak?
Pada pandangan saya, musim cuti merupakan peluang untuk ibu bapa meluangkan masa berkualiti dengan anak-anak kerana mereka mempunyai masa yang panjang untuk bersama.
Mereka boleh melakukan aktiviti rutin di rumah atau riadah yang mana boleh dilakukan pada masa bersesuaian waktu di rumah dan mengikut tata cara keluarga itu sendiri.
Inilah masanya ibu bapa boleh menyusun aktiviti sekali gus membentuk keperibadian keluarga mereka sendiri.
Ia dapat menerapkan nilai murni dalam diri anak-anak terutama disiplin dan adab sopan, selain peribadi serta personaliti mereka, malah ia juga dapat menjadikan hubungan kekeluargaan lebih erat.
Dulu kita kerap ditanya ‘apakah hobi kita?’ Cuti sekolah adalah masa terbaik untuk anak-anak zaman dahulu melaksanakan hobinya. Ibu bapa mengambil peluang semasa cuti sekolah untuk mengembangkan hobi dan minat. Pada pandangan Prof., bagaimana kita dapat mengembalikannya dalam kalangan anak-anak generasi hari ini?
Selain mengeratkan hubungan kekeluargaan, cuti sekolah juga merupakan peluang ibu bapa untuk mengembangkan peribadi anak-anak menerusi minat dan hobi.
Masa ini ibu bapa boleh menggalakkan anak-anak meneroka dan mencuba perkara baharu yang bukan bersifat akademik sebaliknya bersifat kemahiran, komunikasi, sosial, emosi dan memperkembang bakat anak-anak.
Impak program cuti sekolah antara lain adalah mengelak keciciran pembelajaran dan meningkatkan pengetahuan serta kemahiran pelajar, maka adakah perlu pihak universiti, NGO atau sekolah berganding bahu memperkenalkan modul cuti sekolah sebagai alternatif terbaik untuk membentuk perwatakan jati diri sewaktu cuti sekolah?
Pada pandangan Prof., apakah aspek kurikulum tambahan ini meliputi Modul Pendidikan Perpaduan, Modul Kesedaran Alam Sekitar, Modul Keselamatan Jalan Raya dan lain-lain yang terlalu banyak diintegrasikan dalam kurikulum persekolahan dipisahkan serta diberi penekanan semasa cuti persekolahan ini?
Kita tidak dapat nafikan kepentingan impak program cuti sekolah kepada perkembangan diri anak-anak. Malah, isu bebanan kurikulum dan kokurikulum semasa sesi persekolahan sememangnya tidak dinafikan.
Oleh yang demikian, langkah proaktif untuk menyusun semula pelaksanaan modul-modul tambahan yang diintegrasikan ke dalam kurikulum khususnya yang melibatkan pembentukan diri, perwatakan dan sahsiah semasa sesi persekolahan seharusnya dinilai semula khususnya dari segi modus pelaksanaannya semasa cuti sekolah.
Hal ini sebaiknya melibatkan badan bukan kerajaan (NGO), industri dan badan berkanun kelolaan sukarelawan yang merupakan satu inisiatif terbaik khususnya kepada pelajar yang memerlukan.
Menurut Prof., apakah aktiviti-aktiviti terbaik untuk dilakukan ibu bapa bersama anak-anak pada masa musim cuti sekolah yang Prof. ingin sarankan kepada ibu bapa?
Selalunya aktiviti rutin seperti bangun pagi, membersihkan rumah, basuh pinggan selepas makan atau masak bersama-sama merupakan yang terbaik dalam membentuk peribadi anak-anak.
Aktiviti-aktiviti ini bukan sekadar dapat membentuk disiplin, malah ia juga tidak melibatkan kos yang tinggi dan membantu dalam membentuk keharmonian keluarga.
Jika mahukan sesuatu yang lebih menyeronokkan, ibu bapa boleh membawa anak-anak keluar beriadah di taman atau melakukan aktiviti dalam rumah seperti menonton filem bersama atau bermain board games.
Kita faham setiap keluarga itu berbeza statusnya. Ada yang mampu untuk bercuti ke tempat-tempat menarik dan ada keluarga kurang berkemampuan mungkin sekadar berehat di rumah. Mungkin ada kalangan anak-anak yang berasa iri dengan kawan mereka yang berpeluang melakukan hal-hal menarik semasa cuti sekolah. Adakah hal sebegini boleh memberi impak dari segi psikologi anak? Jika ya, bagaimana hal ini boleh ditangani.
Tidak dinafikan perbezaan status boleh menyebabkan anak-anak merasa rendah diri apabila melihat kawan lain dapat bercuti ke luar negara tetapi mereka hanya di rumah.
Namun begitu, perkara ini sebenarnya tidak akan wujud jika anak-anak telah dididik untuk berasa seronok walaupun hanya di rumah.
Oleh itu saya katakan bahawa aktiviti bersama anak-anak harus dilakukan semasa cuti sekolah yang mana ia juga membentuk keterbukaan dan rasa bersyukur dalam diri untuk menerima keadaan semasa.
Sistem Pendidikan Negara bergerak ke arah Pendigitalan Pendidikan dan Kurikulum 2027 dirangka untuk mendepaninya. Apakah harapan Prof. terhadap Kurikulum 2027 supaya dapat mengintegrasikan dan mengoptimumkan program cuti sekolah menerusi kerjasama pintar antara pihak sekolah, universiti, komuniti dan NGO untuk membentuk patriotism?
Dalam perkara ini, kerjasama pintar sekolah-universiti atau IPG, komuniti, industri dan NGO perlu dikembalikan semula menerusi pelaksanaan program-program cuti sekolah khususnya dalam membentuk semangat patriot, jati diri Malaysia, kesetiaan dan kebanggaan kepada negara.
Program cuti sekolah yang ditaja oleh pihak-pihak ini seharusnya dikendalikan semasa cuti sekolah dengan tajaan.
Maka, adalah dicadangkan agar kurikulum 2027 mengambil kira pelaksanaan projek pelajar bersama komuniti sebagai sebahagian daripada program cuti sekolah.
Seharusnya, pihak sekolah diberi autonomi untuk menyusun aktiviti tanggungjawab sosial (CSR), projek industri, universiti atau IPG yang akan dilaksanakan kepada pelajar dioptimumkan semasa cuti sekolah bagi memastikan waktu itu pengajaran dan pembelajaran (PdP) tidak terganggu.
Penambahbaikan terhadap kerjasama pintar program cuti sekolah juga bukan hanya dapat meringankan beban kewangan ibu bapa tetapi juga dapat membentuk nilai jati diri dan perwatakan Malaysia.
Apabila masa sekolah kembali dibuka menjelang tiba, apa bentuk-bentuk persediaan bagi anak-anak yang mahu mula bersekolah dan bagi ibu bapa?
Pada saya kedua-duanya penting sama ada persediaan kelengkapan mahupun mental untuk kembali ke sekolah. Ibu bapa harus memastikan bahawa anak-anak ini bersedia untuk berhadapan dengan rutin persekolahan dan apa yang bakal mereka lalui terutama buat yang beralih dari sekolah rendah ke menengah.
Ibu bapa juga perlu beri motivasi dan menyeimbangkan aktiviti dengan akademik agar anak-anak tidak terlalu leka semasa cuti sekolah.














