fbpx

Mahkamah: Laskar Kanan didakwa terima rasuah RM46,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairul Anuar ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. - Foto oleh SHIEDIQQIN ZON / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lapan pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM46,000 berhubung pembiayaan pinjaman perumahan sektor awam tiga tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh Laskar Kanan Khairul Anuar Mat Sidek, 32, mengaku tidak bersalah selepas kelapan-lapan pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kelapan, Khairul Anuar didakwa sebagai penjawat awam Laskar Kanan TLDM di Bahagian Perkhidmatan Anggota (sel pinjaman perumahan) Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menerima wang tunai yang kesemuanya berjumlah RM46,000 secara serahan tangan daripada seorang wanita berusia 41 tahun iaitu pemilik sebuah syarikat konsultan.

Pertuduhan pertama hingga kelapan itu masing-masing RM10,000, RM5,000, RM9,000, RM4,000, RM4,000, RM4,000 RM5,000 dan RM5,000.

Kesemua wang itu diterima dengan tanpa balasan yang tertuduh ketahui wanita itu mempunyai hubungan dengan tugasan rasmi tertuduh iaitu berkaitan permohonan urusan pinjaman perumahan daripada Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) bagi 10 individu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kuarters Desa Setia Wira, Jalan Buku 5, di sini antara 6 Januari 2021 dan 24 Mei 2022 yang didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Rifah Izzati Abdul Mutalif menawarkan jaminan RM15,000 terhadap tertuduh bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali setiap bulan.

Bagaimanapun peguam Ahmad Syahmi Amran yang mewakili tertuduh memohon jumlah ikat jamin itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga dengan isteri sarat mengandung selain turut mempunyai seorang lagi anak masih kecil.

“Sepanjang siasatan dijalankan, tertuduh telah memberi kerjasama yang baik dan hari ini tertuduh datang sendiri ke mahkamah (hadapi pendakwaan). Anak guam saya juga bukan seorang yang flight risk (risiko melarikan diri), ” kata peguam itu.

Selepas mendengar makluman dan permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Suzana membenarkan Khairul Anuar diikat jamin RM12,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 19 April ini bagi sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI