fbpx

Mahkamah: Bekas setiausaha sulit kanan bekas menteri diperintah bela diri lapan pertuduhan terima rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Saifullah ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. - Foto oleh SHIEDIQQIN ZON / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan bekas setiausaha sulit kanan kepada bekas menteri pelancongan, seni dan budaya membela diri atas lapan pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.77 juta daripada pemilik sebuah syarikat bagi mendapatkan tender perkhidmatan pengiklanan di bawah kementerian itu.

Hakim Suzana Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Mohd. Saifullah Mohd. Minggu @ Mohd. Hashim, 33.

“Setelah meneliti keseluruhan keterangan saksi pendakwaan dan hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan, pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh. Oleh itu, tertuduh diperintahkan untuk membela diri bagi lapan pertuduhan,” katanya.

Justeru dengan keputusan itu, Mohd. Saifullah mempunyai tiga pilihan untuk membela diri iaitu memilih untuk berdiam diri atau sama ada ingin memberi keterangan di dalam kandang tertuduh yang mana keterangan secara tidak bersumpah atau memberi keterangan bersumpah di kandang saksi yang boleh disoal balas.

Peguam Haijan Omar mewakili Mohd. Saifullah memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya memilih untuk memberikan keterangan daripada kandang saksi secara bersumpah dan boleh disoal balas.

Mengikut lapan pertuduhan itu, Mohd. Saifullah didakwa menerima suapan berjumlah RM1,765,000 daripada pemilik syarikat Inter Bev Network Sdn. Bhd., Ronald Seto Kong Seng melalui Roslan Lahada.

Ia sebagai dorongan untuk tertuduh melakukan perkara yang tertuduh berjanji mendapatkan tender “Perkhidmatan Penghasilan Penjenamaan (Brand) dan Kreatif (Creative) bagi kempen pengiklanan Tourism Malaysia” kepada Syarikat Inter Bev Network Sdn Bhd untuk kempen pengiklanan Tourism Malaysia” kepada syarikat Inter Bev Network dan tender “Cadangan Promosi dan Pengiklanan Digital Sempena Tahun Melawat Malaysia 2020” secara rundingan terus kepada syarikat Plan B Digital Sdn. Bhd.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Red Box Karaoke dan Coffee Bean di pusat beli belah Pavillion, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC); di pejabat setiausaha sulit kanan kepada menteri, di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; di Vipod Residences; di Maybank lslamic Berhad, Wisma Genting; di premis di Temasya Anggun, Glenmarie, Selangor; Kota Damansara dan Petronas Dengkilantara 11 pagi hingga 11.30 malan, pada 21 Dis 2018 hingga 1 Mac 2019.

Dalam pada itu, mahkamah melepas dan membebaskan Mohd. Saifullah daripada 11 pertuduhan menerima dan meminta RM820,530 daripada individu sama.

Bagi pertuduhan meminta dan menerima rasuah, Mohd. Saifullah didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Sementara itu, Hakim Suzana turut melepaskan dan membebaskan tunang Mohd. Saifullah, Nurfadziana Abdul Kadir, 32, daripada satu pertuduhan bersubahat dengan Mohd. Saifullah dalam melakukan kesalahan rasuah iaitu menerima suapan RM232,000 yang didakwa mengikut Seksyen 28 (1) di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman sama.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Low Chin How, Noor Syafina Mohd. Redzuan, Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Nurul Atiqah Mohamad Alias. – KOSMO! ONLINE

.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI