fbpx

Kenakan tindakan tegas terhadap pelombong NR-REE secara haram – Sultan Nazrin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Kedua Dewan Negeri Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini. - Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA / KOSMO!

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah bahawa tindakan tegas dikenakan terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang melombong Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) secara haram di negeri ini.

Titah baginda, NR-REE yang begitu berharga telah menarik perhatian pihak-pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan melakukan pencerobohan, melakukan operasi mengeluarkan mineral secara haram.

“Pencerobohan dan operasi secara haram ini akan menyebabkan ketirisan hasil negeri, di samping menyebabkan berlakunya aktiviti perlombongan tidak terkawal dan tidak mengikut garis panduan yang dibimbangkan berpotensi memberi kesan negatif kepada alam sekitar dan kesihatan masyarakat.

“Tindakan tegas dan pantas perlu diambil oleh agensi-agensi penguat kuasa terutama oleh Jabatan Perhutanan.

“Perbuatan ‘harapkan pegar, pegar makan padi’ jika berlaku dalam kalangan pegawai penguat kuasa yang bersekongkol dengan peneroka haram, hendaklah segera disiasat, dikenal pasti dan diambil tindakan tegas tanpa sebarang kompromi,” titah baginda ketika Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Kedua Dewan Negeri Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, mineral merupakan antara sumber pendapatan negeri dengan royalti daripada bahan mineral menunjukkan trend peningkatan iaitu dari RM88.2 juta pada 2021 kepada RM101.5 juta pada 2022 dan terus meningkat kepada RM129.5 juta tahun lalu.

“NR-REE merupakan sumber mineral baharu, berpotensi menjana hasil negeri yang berdaya saing tinggi. Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Negeri Perak, menganggarkan terdapat 1.69 juta tan metrik deposit NR-REE di negeri Perak, dengan anggaran nilai RM40 bilion.

“Pelaksanaan projek perintis di kawasan seluas 88 hektar, telah menghasilkan pengeluaran hampir 6,200 tan metrik karbonat REE. Berdasarkan 12 peratus royalti yang dikenakan daripada harga jualan, kerajaan Beta telah memperoleh kutipan royalti berjumlah RM25.2 juta bagi tahun 2023.

“Dalam tahun 2024, Kerajaan Beta menyasarkan perolehan royalti melalui sumber mineral baharu ini akan mencecah RM50 juta ringgit,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI