fbpx

Bekas juruteknik didakwa 20 pertuduhan rompakan bersenjata, datangkan kecederaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. Sufian didakwa di dua Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas 20 pertuduhan melakukan rompakan bersenjatakan pisau dan mendatangkan kecederaan di bank dan farmasi.

IPOH – Bekas juruteknik syarikat penyedia perkhidmatan internet didakwa di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 20 pertuduhan melakukan rompakan bersenjatakan pisau dan mendatangkan kecederaan di bank dan farmasi di daerah ini sejak 2022 hingga 2023.

Tertuduh, Mohd. Sufian Wahab, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hilmiah yusof dan Hakim Azizah Ahmad.

Pada prosiding di hadapan Hakim Hilmiah, tertuduh didakwa bagi tujuh pertuduhan melakukan rompakan bersenjatakan sebilah pisau terhadap tujuh individu masing-masing sebanyak RM700, RM1,500, RM1,500, RM3,140, RM10,000, RM1,500 dan seutas gelang.

Sementara itu, pada prosiding di hadapan Hakim Azizah, tertuduh didakwa bagi 13 pertuduhan melakukan rompakan bersenjatakan pisau, rompakan berkumpulan dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.

Kesalahan dilakukan tertuduh itu membabitkan kerugian berjumlah RM29,510 selain pelbagai barangan kemas termasuk rantai, gelang, cincin, buah rantai, cincin batu jed dan seutas jam tangan jenama Seiko.

Kesemua perbuatan itu dilakukan tertuduh di beberapa buah bank dan farmasi di daerah Ipoh antara 3 Ogos 2022 hingga 25 Disember 2023.

Pertuduhan terhadap bapa kepada lima anak itu dikemukakan mengikut Seksyen 392, Seksyen 392/397 dan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat jika disabitkan kesalahan.

Bagi kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaan Raya, Qurratu’aini Khalifah, Mohammad Haiqal Asyraf Suhaimi dan Mohamad Nazreen Zabarudin manakala tertuduh diwakili peguam Gheetal Kaur. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI