NAMA Tun Abdul Taib Mahmud bukan asing bagi rakyat Sarawak dan Malaysia. Pemergian insan penuh jasa itu ke negeri abadi semalam menjadi satu kehilangan yang cukup besar buat negara.
Figura penting ‘Bumi Kenyalang’ itu turut menerima gelaran sebagai Bapa Pemodenan Sarawak.
Peguam kelahiran Miri, terlatih di Adelaide, Australia itu berada dalam kancah politik Sarawak sejak pembentukan Malaysia pada 1963 sehingga bergelar Yang di-Pertua Negeri Ketujuh berakhir bulan lalu.
Dilahirkan pada 21 Mei 1936, Abdul Taib merupakan perancang utama yang mencorakkan pembangunan Sarawak menerusi konsep politik pembangunan yang diperkenalkannya ketika menerajui kerajaan negeri sebagai Ketua Menteri selama 33 tahun sebelum ini.
Perjalanan politik Abdul Taib dalam mentransformasikan Sarawak bermula apabila beliau dilantik sebagai Menteri Perhubungan dan Kerja Raya di bawah Kabinet Ketua Menteri Sarawak pertama Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan.
Mengimbau kembali masa itu, Abdul Taib berkata: “Membangunkan Sarawak adalah satu tugas yang begitu sukar kerana ia merupakan negeri yang mencabar dari segi geografi, luas dan kurang membangun. Kita perlu berfikir di luar kotak untuk melaksanakan pembangunan infrastruktur bagi memastikan kita dapat memaksimumkan sumber untuk memberi manfaat kepada rakyat umum”.
Beliau berkata pada masa itu, selain ancaman pemberontakan komunis, Sarawak juga kekurangan dana yang diperlukan untuk melaksanakan projek-projek bagi menangani persekitaran dan rupa bumi yang mencabar terutama di kawasan pedalaman yang luas di negeri ini.
“Tetapi syukur, kami telah berjaya mengharungi cabaran tersebut dengan mereka yang berkebolehan dan bekerja keras untuk melaksanakan projek infrastruktur asas seperti jalan raya dan jambatan untuk menghubungkan bandar-bandar utama seperti Simanggang, Sibu, Miri dan Limbang sehingga ke Lawas,” katanya.
Selepas berkhidmat di peringkat negeri, Taib dipanggil oleh Perdana Menteri Almarhum Tunku Abdul Rahman untuk menjadi sebahagian daripada Kabinet Persekutuan dengan beliau cemerlang dalam semua portfolio yang diberikan kepadanya seperti Menteri Perancangan Am dan Penyelidikan Sosio-Ekonomi, Menteri Perusahaan Utama, Menteri Pertahanan dan akhirnya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan sebelum dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak keempat pada 26 Mac 1981.
Sebagai Ketua Menteri merangkap Menteri Perancangan Sumber, Abdul Taib dapat melaksanakan projek-projek besar yang membawa pembangunan maksimum kepada Sarawak melalui dasar politik pembangunan yang menjadi asas dasar beliau yang memfokuskan kepada perubahan, peluang, mobiliti dan kesaksamaan kepada semua rakyat Sarawak.
Bagi Abdul Taib, politik pembangunan ialah pendekatan menyeluruh dalam mengimbangi keseluruhan spektrum pembangunan sosioekonomi yang melibatkan seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.
Sumbangan besar Abdul Taib kepada Sarawak sememangnya tidak dapat ditandingi, dengan pencapaiannya tidak terkira banyaknya.
Secara ringkas, beberapa sumbangan ketara beliau adalah penubuhan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) untuk memanfaatkan sumber minyak dan gas Sarawak yang kaya; penubuhan bahagian pentadbiran baharu seperti
Mukah, Betong dan Samarahan; peningkatan Kuching dan Miri sebagai bandar; penubuhan Kolej Laila Taib di Sibu, penubuhan pelbagai universiti seperti Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di Sibu, kampus Universiti Swinburne (Kuching) dan kampus Universiti Curtin (Miri).
Beliau juga memainkan peranan penting dalam memastikan Sarawak perlu mempunyai universiti awam pertamanya dengan penubuhan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di Kota Samarahan.
Beliau turut membantu dalam penubuhan banyak institut latihan dan kolej lain bagi melatih rakyat Sarawak tempatan dalam pelbagai bidang, yang bukan sahaja untuk membantu membangunkan Sarawak tetapi juga untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.
Aspek sosial rakyat juga ketara apabila beliau membangunkan Dewan Suarah di seluruh pekan utama di Sarawak untuk memenuhi keperluan rakyat yang semakin meningkat.
Beliau percaya kejayaan pelaksanaan program pembangunan dengan politik pembangunan akan membawa perubahan positif, mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan mencukupi yang memerlukan rakyat bergerak.
Selain menubuhkan sekolah, kolej dan universiti, Taib juga menubuhkan banyak taman perindustrian seperti Taman Perindustrian Samajaya, Taman Perindustrian Demak Jaya, Taman Perindustrian Samalaju dan Taman Perindustrian Tanjung Manis.
Taman-taman perindustrian itu telah mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan terutamanya dari kawasan luar bandar.
Selain itu, beliau juga mewujudkan beberapa badan berkanun seperti Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA), Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dan memperbesar peranan serta fungsi badan-badan yang ditubuhkan seperti Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA).
Beliau turut mengubah ekonomi Sarawak daripada berasaskan pertanian kepada perindustrian bagi memindahkan pendapatan rakyat daripada ekonomi berpendapatan sederhana kepada tinggi.
Abdul Taib percaya dengan kejayaan membangunkan infrastruktur perhubungan yang baik dan lebih daripada 1 juta hektar ladang kelapa sawit, negeri ini telah meletakkan asas yang kukuh untuk pembangunan perindustrian.
Disebabkan oleh keperluan penting sumber manusia terlatih untuk memajukan lagi negeri, Kota Samarahan telah dijadikan hab pendidikan dengan universiti awam pertama Sarawak, Unimas ditubuhkan. Ini diikuti oleh kampus UiTM Sarawak dan Institut Latihan Perguruan Tun Abdul Razak
Dalam pada itu, penganalisis politik Dr Ammar Redza Ahmad Rizal menyifatkan pemergiannya satu kehilangan besar yang juga titik akhir kepada satu bab utama di dalam sejarah Sarawak.
Menyuarakan pendapat dari sudut pandang politik, beliau menyifatkan beliau ketika era perdananya memperlihatkan seni politik yang halus dan cekap.
“Ketika mula menjadi Ketua Menteri Sarawak, beliau telah mempunyai pengalaman kepimpinan awam di peringkat Persekutuan dan mempunyai hubungan baik bersama Perdana Menteri ke-4, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Justeru walaupun Allahyarham berhadapan tentangan terhadap legitimasi kepimpinannya seperti peristiwa “Ming Court”, tetapi beliau berjaya melepasi fasa tersebut,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, Taib juga telah menunjukkan kemampuan dalam memimpin negeri sebesar Sarawak, yang bukan satu perkara mudah apatah lagi dalam keadaan dunia memasuki fasa kemodenan dan kehendak ekonomi meningkat, dengan Sarawak ialah lubuk ekonomi kerana kekayaan sumber alam.
Menjelas lanjut, beliau berkata pada waktu itu, infrastruktur asas termasuk jalan raya, sekolah dan fasiliti kesihatan masih lagi terhad.
“Kerana itu, kita dapat lihat sewaktu Rancangan Malaysia Ke-4 hingga Ke-7 iaitu sewaktu era perdananya, kemudahan dan jaringan asas menghubungkan bandar utama dengan pekan kecil sedang membangun,” katanya.
Ammar juga berkata, yang lebih utama adalah Abdul Taib berjaya memastikan kestabilan di dalam komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak ketika itu, walaupun sewaktu eranya, beliau berhadapan dengan konflik antara masyarakat Dayak di Sarawak.
Katanya ia termasuk perpecahan di dalam Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDS) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).
“Walaupun mungkin wujud pelbagai perspektif tetapi dari sudut pandang politiknya, Taib berjaya mengelakkan konflik lebih besar yang berkemungkinan membawa kejatuhan kepada BN Sarawak,” katanya.














