fbpx

UPSI buka ruang pelukis terkemuka berkarya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Md. Amin (tengah) di majlis perasmian pameran seni tersebut di UPSI, Tanjung Malim hari ini. - Foto IHSAN UPSI

TANJUNG MALIM – Pameran Sustainability International Art Exhibition anjuran Institut Peradaban Melayu (IPM) Universiti Pendidikan Idris (UPSI) di sini bersama Asian International Art Stream (AiAS) membuktikan komitmen universiti itu dalam bidang seni serta membuka pintu kepada persepsi baharu terhadap kreativiti serta kelestariannya.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, pameran itu menampilkan karya-karya unggul dari pelbagai negara termasuk Brunei, Jepun, Indonesia, India, Malaysia, Mauritius, Filipina, Singapura dan Vietnam.

Beliau berkata, pameran itu bukan sahaja menjadi medan memperluaskan wawasan seni masyarakat setempat tetapi juga memperlihatkan kepelbagaian budaya serta kreativiti yang ada di rantau ASEAN.

“UPSI meneruskan peranannya sebagai pusat pembelajaran seni yang berprestij dengan memberikan platform kepada pelukis terkemuka dari pelbagai negara.

“Dengan adanya kerjasama strategik dengan AiAS, UPSI turut memperkukuhkan kedudukannya sebagai institusi pendidikan yang mementingkan perkembangan seni dan budaya di peringkat global,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Speaker Dewan Negeri Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid yang merasmikan program menganggap program itu memberi pengiktirafan terhadap peranan penting seni dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang keindahan alam dan kepelbagaian budaya.

Katanya, ia mencerminkan betapa pentingnya pendidikan seni halus dalam membentuk identiti dan pemikiran kreatif masyarakat secara keseluruhan.

“Dengan menggalakkan penanaman cinta terhadap seni dan penghargaan terhadap ekspresi kreatif, pameran ini tidak hanya memberi impak positif kepada UPSI sebagai institusi pendidikan berprestij tetapi juga mengukuhkan falsafah kreatif dalam kalangan masyarakat yang semakin menghargai keunikan dan keindahan dalam seni,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI