fbpx

Taib Mahmud meninggalkan legasi tidak ternilai sebagai Bapa Pemodenan Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Taib

PETALING JAYA – Jasa dan sumbangan bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud adalah signifikan kepada pembangunan dan kemajuan Sarawak sehingga meninggalkan kesan yang tidak dapat dilupakan dalam sejarah negeri itu dan kehidupan rakyatnya.

Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal berkata, beliau juga secara peribadi amat terhutang budi kepada tokoh ulung itu yang memulakan perjalanan politik semasa Abdul Taib diangkat sebagai Ketua Menteri Sarawak pada 1981.

Menurutnya, meskipun baru berusia 27 tahun, Abdul Taib meletakkan kepercayaan kepada beliau untuk bertanding sebagai Ahli Parlimen bagi Bukit Mas, yang kini dikenali sebagai Lawas dan Limbang.

“Abdul Taib Mahmud merupakan figura bapa bagi kami para ahli politik muda pada zaman itu, beliau sentiasa mudah didekati dan sentiasa menyokong kami dalam hal-hal yang berkaitan dengan Parlimen, urusan politik, dan peribadi.

“Oleh itu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memberi penghormatan dan perhargaan kepada beliau di dalam pelbagai aspek pembangunan untuk Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mutang berkata, Abdul Taib yang merupakan seorang negarawan yang bersemangat tinggi, telah menubuhkan institusi pendidikan seperti Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Kota Samarahan.

Kata Mutang, di bawah pimpinan Abdul Taib, Kota Samarahan berubah menjadi pusat pendidikan dengan penubuhan pelbagai institut latihan dan kolej melengkapi rakyat Sarawak dengan pelbagai kemahiran.

“Pencapaian beliau termasuk penubuhan Lembaga Pembangunan Bintulu (BDA) untuk mengoptimalkan penggunaan sumber minyak dan gas Sarawak, serta penubuhan bahagian pentadbiran baharu seperti Mukah, Betong, dan Samarahan termasuk pembangunan di sekitar bandar-bandar Kuching dan Miri.

“Beliau juga menubuhkan Sarawak Corridor of Renewable Energy (SCORE) pada tahun 2008, sebuah kawasan ekonomi dan koridor pembangunan yang merangkumi kawasan sentral Sarawak,” ujarnya.

Tambahnya Abdul Taib juga memimpin usaha transformasi dalam sektor utama seperti kayu, kelapa sawit, dan hutan dengan menubuhkan beberapa badan berkanun serta memperluaskan peranan badan-badan sedia ada. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI