fbpx

Pencemaran sungai: Bukan dari ladang babi tapi itik baka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fahmi ketika lawatannya ke landang ternakan babi dan itik baka di Sungai Lembu, Bukit Mertajam, hari ini.

SEBERANG PERAI – Isu pencemaran Sungai Kulim dan Sungai Air Merah di Kedah bukan berpunca dari ladang ternakan babi sebaliknya ladang itik baka yang terletak berhampiran dengannya di Sungai Lembu, Bukit Mertajam, dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang, Fahmi Zainol berkata, perkara tersebut disahkan selepas satu siasatan menyeluruh diadakan di ladang ternakan haiwan itu, hari ini.

Menurutnya, siasatan tersebut dijalankan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri, Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) serta beberapa agensi lain yang berkaitan.

“Kita pergi ke dua ladang ternakan haiwan itu. Ladang pertama iaitu ladang khinzir didapati tidak mempunyai kaitan dengan isu pencemaran itu.

“Sebaliknya, masalah pencemaran tersebut dipercayai berpunca daripada ladang itik baka yang terletak bersebelahan dengan ladang tersebut.

“Kita dapati memang ada ‘direct discharge’ (pelepasan terus sisa kumbahan) daripada ladang itik baka itu ke Sungai Air Merah dan Sungai Kulim. Bagaimanapun, aktiviti tersebut tidak memberi kesan langsung kepada air yang dirawat oleh PBA (PBAPP) kerana lokasinya (kawasan rawatan air) agak jauh iaitu 14 kilometer (km),” katanya di sini.

Dalam pada itu, katanya, aktiviti ternakan tersebut bagaimanapun dilihat hanya memberi kesan kepada alam sekitar dan bukannya pengguna air di Pulau Pinang atau Kedah.

Semalam, media melaporkan JAS Kedah telah mengesan berlakunya kegiatan pelepasan sisa ternakan babi disyaki berpunca dari ladang perkampungan Sungai Lembu yang menyebabkan berlakunya pencemaran Sungai Kulim dan Sungai Air Merah.

Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan pencemaran itu Jumaat lalu, sebelum pegawai penyiasat JAS Cawangan Kulim digerakkan bagi mengesan punca kejadian.

Sementara itu, Pengarah JPV negeri, Dr Saira Banu Mohamed Rejab memberitahu, buat masa ini, pihaknya tidak dapat mengambil tindakan terhadap pengusaha ladang ternakan itik baka itu kerana belum diletakkan di bawah bidang kuasa JPV.

“Ini berikutan enakmen berkaitan penternakan serta perladangan unggas baru sahaja dikuatkuasakan awal tahun ini.

Bagaimanapun katanya, JPV Pulau Pinang telah menasihatkan pengusaha ladang ternakan itik baka itu untuk memperbetulkan semula saluran keluar sisa kumbahan seberapa segera dengan menggunakan khidmat konsultan.

“Pada masa yang sama, kami juga akan membuat persampelan air atau sisa kumbahan yang keluar dan mengalir ke sungai-sungai tersebut,” katanya yang memaklumkan, ladang ternakan itik itu telah beroperasi sejak lebih 15 tahun lalu tanpa lesen.

Dalam perkembangan berkaitan, Pegawai Veterinar daripada Jabatan Kesihatan MBSP, Dr. Mohammad Aklis Azmi pula berkata, pihaknya akan menyemak semula status ladang ternakan itik itu sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI