fbpx

‘Hampir pitam atas pentas, berat maskot macam dukung anak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Stacy mendedahkan perjalanannya di pentas The Masked Singer Malaysia bukan mudah.

KUALA LUMPUR — Menjadi juara The Masked Singer Malaysia musim keempat (TMSM4) di sebalik maskot Bunga Matahari, penyanyi Stacy mengakui bukan mudah beraksi dalam kostum sebesar itu sehingga pernah nyaris pitam.

Enggan berbohong, Stacy atau nama lengkapnya, Ummu Shaikhah Stacy Anam, 34, berkata dia beberapa kali mengalami sakit kepala selain lenguh seluruh badan berikutan bebanan akibat memakai maskot tersebut.

“Memang mencabar, ada minggu tertentu saya mengalami sakit belakang badan dan migrain sebab kostum itu sangat berat, malah lebih teruk pernah hampir pitam atas pentas sebab terlalu panas dan oksigen yang terhad.

“Sebab itu saya kena kurangkan pergerakan ketika membuat persembahan dengan berikan lebih fokus kepada nyanyian sahaja.

“Berat maskot rasanya sama seperti saya pernah mendukung anak yang beratnya 12 kilogram,” katanya kepada Kosmo! Online.

Menyedari ramai dapat meneka dirinya di sebalik topeng tersebut, pelantun lagu Khayal itu terpaksa mengunci mulut bagi mematuhi kontrak program yang tidak membenarkan peserta mendedahkan identiti mereka.

“Dari awal orang sudah mula ‘serang’ saya di sosial media kerana mereka boleh meneka itu saya.

“Tetapi saya tidak boleh nak menjawab. Mungkin saya gagal untuk kelirukan orang, namun saya anggap ini satu kejayaan kerana sampai ke final.

“Ibu sendiri pun tidak tahu Bunga Matahari itu adalah saya sehingga pada minggu ketiga dia bertanya. Apabila juri meneka nama, saya hanya mampu tergelak di dalam kostum itu,” ujarnya selepas konsert akhir TMSM, malam tadi.

Semalam, teka-teki pemilik vokal padu di sebalik topeng terjawab apabila isteri kepada penyanyi Akim Ahmad yang memakai kostum Bunga Matahari itu diumumkan sebagai juara TMSMY4.

Prestasi Bunga Matahari terserlah sejak awal pertandingan dimulakan apabila tujuh kali bergelar juara mingguan iaitu bermula pada minggu ketiga sehingga minggu kesembilan.

Peserta diadili juri tetap sebanyak 80 peratus, manakala 20 peratus lagi merupakan undian peminat.

Bunga Matahari membawa pulang hadiah sebuah trofi seperti mana mengikut format negara-negara lain. — KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI