fbpx
SETIAP pasangan perlu saling memahami dan bertoleransi bagi kerukunan rumah tangga. – GAMBAR HIASAN

Suami lafaz taklik sebabkan hubungan isteri dengan ibu bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Gara-gara taklik tambahan yang dilafazkan suaminya, seorang wanita terpaksa menjauhkan diri daripada keluarganya kerana risau rumah tangga yang dibina selama 10 tahun hancur berkecai.

Seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Fatimah, 32, (bukan nama sebenar) berkata, kisah kecurangan suaminya terbongkar sejak beberapa bulan lalu sehingga dia buntu dan tidak tahu bagaimana untuk bertindak.

Ujar ibu kepada tiga orang anak itu, setelah terbongkar kecurangan si suami, hampir setiap hari pergaduhan berlaku menyebabkan dirinya tertekan kerana pada masa sama perlu menguruskan anak-anak.

“Saya tertekan dengan sikap suami yang bukan sekali dua ‘kantoi’ curang di belakang saya. Sudah beberapa kali terjadi de­ngan wanita berbeza. Saya tertekan, jadi saya minta pandangan ibu dan adik-beradik.

“Sampailah suami tahu saya luahkan pada keluarga, sehingga dia lafaz taklik secara lisan ‘jika cerita apa-apa mengenai hubu­ngan rumah tangga kami, maka akan jatuh talak satu’.

“Sejak itu, saya menjauhkan diri daripada keluarga saya sebab saya takut tercerita apa-apa mengenai rumah tangga kami.

“Saya akui memang tertekan kerana tiada tempat untuk me­luah apabila dianiaya oleh suami, tetapi saya reda,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Tambah Fatimah, sejak taklik tambahan itu dilafazkan, hubu­ngan bersama keluarganya semakin renggang kerana terpaksa menjauhkan diri serta ­‘mengunci’ mulut bagi mematuhi arahan suaminya.

Sementara itu, seorang lagi wanita dikenali sebagai Rosmah, 65, berkata sehingga kini dirinya masih kesal dan menganggap tidak mendapat pembelaan sewajarnya apabila membuat lafaz taklik tambahan bersama bekas suami pada 15 tahun lepas.

Kata ibu kepada enam orang anak itu, pada masa berkenaan taklik tambahan dilakukan kerana ingin melindungi dirinya daripada terus dipukul oleh suami­nya yang merupakan seorang yang panas baran.

Namun, tahun demi tahun suaminya tetap melanggar taklik itu dengan berlaku kasar dan memukulnya sehingga dirinya tidak mampu lagi mendapatkan pem­belaan.

“Selepas dah langgar taklik tambahan tersebut, suami tidak mahu pergi ke pejabat agama atau mahkamah syariah untuk sahkan. Saya sudah berkali-kali cakap pada suami untuk pergi sahkan di mahkamah sebab ­taklik tambahan bila dah sebut tak boleh nak tarik balik.

“Suami hanya buat tidak tahu kerana alasannya pada waktu itu bukti yang direkodkan telah hilang.

“Tahun demi tahun saya me­lahirkan empat orang lagi ­zuriatnya membuatkan saya selalu gelisah tentang taraf anak-anak kami.

“Selang 10 tahun kemudian saya berpisah dengan suami dan perkara tersebut (lafaz taklik tambahan) pun terkubur begitu sahaja,” luahnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN