RONALDO merupakan atlet dengan pendapatan tertinggi di dunia pada tahun 2023.

Lima atlet dengan pendapatan tertinggi dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KERJAYA sebagai seorang atlet sememangnya mampu menjana pendapatan tinggi sekiranya individu tersebut memiliki bakat luar biasa.

Kejayaan mereka di medan sukan membuatkan nilai bersih (net worth) mereka bertambah dan menjadi rebutan pasukan-pasukan dalam liga tertentu.

Populariti seseorang atlet itu mendorong syarikat-syarikat tertentu untuk melantik mereka menjadi duta produk.

Malah, sesetengah atlet memanfaatkan populariti mereka dengan melancarkan jenama sendiri.

Pada minggu ini, Panorama menyenaraikan lima atlet dengan pendapatan tertinggi pada 2023 menurut majalah perniagaan Amerika Syarikat, Forbes.

Cristiano Ronaldo (AS$136 juta/ RM632 juta)

Sejak kali pertama menduduki carta atlet dengan pendapatan tertinggi pada 2016, Ronaldo kekal berada di kedudukan tiga teratas bagi atlet dengan pendapatan tertinggi saban tahun.

Ini kerana, atlet berusia 39 tahun itu sentiasa menjadi rebutan kelab gergasi untuk ‘membelinya’ bagi membantu pasukan mereka mencapai kemenangan.

Selain itu, jumlah peminatnya yang besar iaitu 850 juta di seluruh Facebook, Instagram dan X membuatkan pelbagai jenama terkemuka melantiknya sebagai duta produk.

Lionel Messi (AS$130 juta/ RM 622 juta)

Reputasi Messi di dalam dan luar padang menjadikannya magnet kepada jenama popular seperti Adidas, Budweiser dan Pepsi.

Atlet berusia 36 tahun berkenaan turut bekerjasama dengan Socios, platform peminat berasaskan blockchain dengan bayaran AS$20 juta (RM95 juta) setahun.

Selain itu, pemain Inter Miami itu melancarkan firma pelaburan bernama Play Time pada Oktober lalu.

Kylian Mbappe (AS$120 juta/ RM 574 juta)

Jika mengikut nilai bersih di atas padang semata-mata, Mbappe muncul sebagai atlet dengan bayaran paling mahal berbanding Ronaldo dan Messi.

Bahkan, pemain Perancis itu merupakan satu-satunya atlet berusia bawah 30 tahun yang berada di senarai 10 atlet dengan pendapatan tertinggi dunia.

Pada Jun lalu, atlet berusia 25 tahun itu menjadi duta pertama permainan fantasi berasaskan mata wang kripto, Sorare.

JAMES (kanan) bukan saja seorang atlet bola keranjang, malah beliau memiliki syarikat sendiri.

LeBron James(AS$119.5 juta/ RM 572 juta)

Di samping portfolionya sebagai pemain bola keranjang terkemuka dunia, James juga seorang usahawan berjaya.

Penyerang pasukan Los Angeles Lakers itu memiliki syarikat pemakanan nutrisi, Ladder dan syarikat pembangunan kandungan hiburan, Spring Hall.

Atlet berusia 38 tahun itu juga melabur dalam konglomerat pemegangan sukan multinasional Amerika Syarikat, Fenway Sports Group.

Canelo Alvarez (AS$110 juta/ RM519 juta)

Alvarez mengumpul berpuluh-puluh juta dolar setiap kali dia melangkah ke gelanggang dan menumbangkan lawan pada pertarungan blockbuster sejak setahun lalu.

Peninju dari Mexico itu menandatangani perjanjian dengan syarikat pengurusan sukan, Excel Sports Management pada September lalu untuk membantu memasarkan imejnya sebagai atlet.

Atlet berusia 32 tahun itu juga memiliki jenama pakaian sendiri, Canelo Store dan baru sahaja melancarkan perniagaan koktel dalam tin, VMC.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN