HARI INI, sebut sahaja nama ‘Daddy Ash’ ramai yang sudah tahu apa yang dilakukan oleh pemuda itu sehingga dirinya menjadi tumpuan.
Namun begitu, menyoroti perbuatan yang disabitkan ke atasnya, adakah kita sedar bahawa perkara itu sudah menjadi barah dalam masyarakat terutama orang Islam dan Melayu.
Aktiviti memperdagangkan maruah diri menerusi aplikasi dan media sosial bukanlah sesuatu yang baharu di Malaysia, malah ada yang secara terang-terangan mempromosikan kegiatan tidak bermoral tersebut.
Situasi ini menimbulkan pelbagai persoalan antaranya penguatkuasaan undang-undang berkaitan perbuatan itu yang semakin menjadi-jadi ketika ini.
Malah, kemungkinan masih wujud lagi kegiatan sebegini, namun menggunakan modus operandi berbeza bagi mengaburi mata pihak berwajib.
Perbuatan itu lebih jelek jika hendak dibanding haiwan yang tiada akal.
Kejadian seperti ini jelas digambarkan Allah yang merujuk kepada manusia yang tidak menggunakan akal dan pancaindera lain dalam mencari ketuhanan dan agama dengan firman-Nya:
“Dan sesungguhnya kami jadikan untuk neraka jahanam banyak daripada jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah) dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat), mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang yang lalai,” Surah al-’Araaf ayat 179.
Ketua, Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Dr. Mohd. Shahid Mohd. Noh turut mengupas isu itu dengan persoalan mengapa budaya sesat dari Barat ini menjadi pilihan golongan tersebut?
“Ada pihak yang mendakwa tindakan jual diri adalah disebabkan terdesak.
“Namun, jika dilihat latar belakang mereka ini bukannya orang miskin atau merempat, sebaliknya lulusan institusi pengajian tinggi dan bekerjaya. Adakah kerana terdesak?
“Atau terdesak mencari kekayaan duniawi dengan mudah dan segera dengan menjual kehormatan yang paling berharga bagi manusia yang bermaruah,” katanya.
Menurut beliau, apa jua alasan yang diberikan adalah tidak wajar menjual maruah diri demi mengejar kekayaan apatah lagi rezeki yang menjadi darah daging.
Oleh itu, pihak berwajib perlu menyelidik secara lebih mendalam dan tampil dengan langkah untuk membendung kegiatan menjual maruah diri daripada terus berleluasa.
Jelasnya, menjadi tanggungjawab pemimpin yang beragama Islam dan masyarakat untuk sentiasa mengingatkan tentang keperluan mencari kesenangan dan keselesaan di dunia ini hanyalah sementara, manakala kehidupan selepasnya pula adalah yang kekal selama-lamanya.
“Berapa banyak kisah di dalam Al-Quran yang menunjukkan kekayaan Firaun, Namrud dan Qarun tidak berjaya menyelamatkan mereka daripada laknat dan kecelakaan daripada Allah SWT.
“Sedangkan dalam masa yang sama, pengorbanan ‘Ashab al-Ukhdud’ dirakamkan Allah SWT dalam Al-Quran sebagai tanda kejayaan bagi mereka yang mematuhi undang-undang-Nya,” kata beliau.














