PETALING JAYA – ‘Lapar’ untuk mendapatkan perhatian atau keinginan mahu menjadi popular di media sosial antara faktor yang mempengaruhi tingkah laku seseorang sehingga sanggup melakukan perkara yang disifatkan tidak masuk akal.
Pakar Psikologi dan Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr. Fauziah Mohd. Sa’ad berkata, dalam masa sama, pengambilan bahan terlarang juga menyumbang untuk individu berkelakuan sedemikian.
“Orang boleh bertindak sedemikian kerana mungkin terdapat pelbagai faktor mempengaruhi tingkah laku seseorang. Ini termasuk tekanan sosial untuk mendapatkan perhatian, keinginan mendapat populariti atau masalah mental.
“Morfin atau mana-mana dadah yang mempengaruhi sistem saraf pusat juga boleh menyebabkan perubahan dalam tingkah laku seseorang,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Justeru, Fauziah menasihatkan orang ramai untuk selalu memikirkan kesan tindakan sebelum mereka bertindak.
“Penting untuk mempertimbangkan keselamatan diri dan orang lain, serta impak jangka panjang daripada tindakan yang diambil.
“Sentiasa fokus kepada pemikiran rasional dan tidak terpengaruh oleh tekanan sosial atau impulsiviti yang mungkin timbul,” katanya.
Kelmarin, Kosmo! melaporkan, mahu meraih tontonan tinggi di TikTok dipercayai motif seorang lelaki membakar kereta polis bantuan dan menconteng perkataan jelik di hentian bas Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Mutiara Damansara, di sini.
















