fbpx

Inisiatif tenaga solar beri manfaat kepada rakyat Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syed Agil menunjukkan pemasangan panel solar di bumbung Bazar Ipoh baru-baru ini.

IPOH – Berdasarkan kelebihan dari segi keluasan tanah dan cuaca panas sepanjang tahun, Perak kini fokus membina kapasiti penghasilan tenaga boleh diperbaharui (RE) berasaskan solar.

Perkara itu merupakan inisiatif kerajaan Perak dipimpin oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad menerusi Agenda Teknologi Hijau (Solar dan Hidro) yang terkandung dalam pelan Perak Sejahtera 2030.

Syarikat Majuperak Holdings Berhad (MHB), dimiliki oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) menjadi agen peneraju bagi menjayakan hasrat tersebut demi menggerakkan pembangunan tanpa abaikan alam sekitar.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MHB, Syed Agil Syed Hashim berkata, ia memberi faedah dari segi penjimatan tenaga, penjagaan alam sekitar, penciptaan peluang pekerjaan dan pengetahuan mengenai teknologi tinggi buat rakyat Perak.

Di bawah MHB katanya, pembangunan yang difokuskan ialah ladang solar, panel solar di atas bumbung pejabat dan kediaman, serta terkini solar terapung, yang dibina atas permukaan air.

Ladang solar Keramat Pulai di Simpang Pulai milik Majuperak.

“Ini adalah antara usaha me­ngurangkan kebergantuan kepada tenaga tidak boleh diperbaharui seperti arang batu.

“Ia akan mengambil sedikit masa untuk mencapai pulangan modal. Selepas beberapa tahun, kos akan menjadi lebih murah dan pengguna menikmati penjimatan berganda,” katanya kepada Kosmo!.

Antara projek syarikat itu ialah ladang solar terletak di Keramat Pulai sejak 2013 dengan kapasiti 1.5 megawatt (MW) dan panel solar yang dipasang atas beberapa bumbung bangunan sebanyak 2.0MW.

Katanya rakyat Perak turut mendapat faedah langsung kerana boleh memasang teknologi solar di kediaman masing-masing.

Jelas Syed Agil, banyak pejabat dan premis kerajaan negeri telah mula untuk beralih kepada penggunaan teknologi solar.

“Usaha kerajaan negeri ini juga merupakan rancangan jangka panjang bagi memperbanyakkan penggunaan RE selari dengan Perjanjian Paris untuk memerangi perubahan iklim,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI