PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) yakin Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) akan memberi ‘lampu hijau’ bagi memastikan Video Bantuan Pengadil (VAR) dapat digunakan untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025.
Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram berkata, badan induk antarabangsa itu akan datang ke Malaysia pada April depan untuk melakukan pemeriksaan dan menguji sistem fasa akhir.
“FAM bakal menjemput delegasi FIFA bagi tujuan pemantauan dan penilaian sebelum kita mendapatkan pengiktirafan terhadap sistem yang sedang digunakan ketika ini.
“FIFA akan membuat ujian daripada segala aspek seperti teknologi, pengujian di atas padang, pemerhatian untuk pengadil yang mengendalikan sistem terbabit serta ujian bagi perlawanan secara langsung.
“Sekiranya berjalan lancar, kita akan mendapat kelulusan daripada FIFA dan selepas itu barulah VAR sedia digunakan pada Liga M. Kemungkinan besar kita akan dapat kelulusan daripada FIFA,” kata Sivasundaram yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil.
Sebagai rekod, seramai 21 pengadil, 20 pembantu pengadil dan sembilan pengadil ‘replay’ selesai menjalani latihan VAR yang diiktiraf FIFA.
Pengelola Liga M, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan teknologi VAR akan digunakan sepenuhnya menjelang sepak mula saingan musim baharu pada 10 Mei depan.
MFL telah mengeluarkan dana sebanyak RM9.7 juta yang merangkumi kos penyediaan VAR bagi tahun pertama dengan menggunakan trak bergerak.















