fbpx

Kedah tubuh jawatan kuasa pertahan 7 seksyen Enakmen Jenayah Syariah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SANUSI

ALOR SETAR – Kerajaan negeri menubuhkan satu jawatan kuasa dalam usaha mengukuhkan undang-undang syariah negeri ini susulan tujuh seksyen di bawah Enakmen Jenayah Syariah Kedah menyamai Kelantan yang terbatal.

Menurut Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, jawatankuasa itu terdiri daripada Penasihat Undang-undang Negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri serta beberapa pihak terlibat.

“Tengok lah di mana ruang yang boleh kita ambil segera untuk undang undang syariah di daulatkan, tidak lagi perlu tunduk kepada undang undang sivil kena saling melengkapi, bukan saling bersaing, itu yang kita hendaklah.”

“Saya percaya pihak pendakwa raya tidak akan meneruskan untuk mendakwa pesalah di bawah seksyen berkenaan kerana defendan akan menggunakan keputusan (Mahkamah Persekutuan) untuk mencabar kes pendakwaan itu, jadi ini akan memberi kesan kepada semua negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas  Majlis Penyampaian Ganjaran Kemenangan Kepada Atlet Kedah Yang Memenangi Pingat pada Temasya Sukan Komanwel XXII, Birmingham 2022 dan Sukan SEA Kemboja 2023 di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Muhammad Sanusi mengulas tentang Mahkamah Persekutuan dalam satu keputusan bersejarah, mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah pada Jumaat lepas.

Keputusan itu dibuat terhadap petisyen yang dikemukakan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman sebelum dibacakan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Mengulas lanjut Muhammad Sanusi beranggapan, pembatalan undang-undang itu berlaku kemungkinan akibat pentafsiran undang-undang yang berbeza oleh pengamal undang-undang pada masa dahulu dan sekarang.

“Dulu hakim beri interpretasi macam lain, hakim senior dulu jika dibawa kes macam ini dia tidak akan terbabit, sekarang ini sudah diinterpretasi lain pula.  Pentafsiran undang undang dulu disebut Perundangan Persekutuan sekarang ditafsir Senarai Persekutuan iaitu apabila kuasa Mahkamah Persekutuan semua negeri tak boleh buat.

“Saya fikir penafsiran ini diternak, diasuh dan dipupuk, bukan jadi sendiri supaya berlaku perkara ini. Ada rancangan… ada usaha-usaha yang berterusan daripada dulu sampai sekarang supaya penafsiran ini dapat berubah dan mengubah kedudukan setiap undang undang itu.

“Ia tak berlaku sendiri sehingga hasil daripada usaha itu membesar dan memegang jawatan penting dalam negara ini. Maka penafsiran itu mengambil tempat dan menjalankan fungsi yang berlaku sekarang,” katanya.

Beliau juga mendakwa sudah menghidu latar belakang individu yang membela golongan terlibat termasuk kecenderungan arah tuju negara yang dibawa.

“Kecenderungan itu sudah berkembang dan ternakan itu sudah menghasilkan benih baru. Mungkin 20, 30 tahun boleh jadi.  Penjajah sudah balik tahun 1957. tahun 1960 ada orang putih lagi,

“Sistem kita pun makin hari makin berubah, sudah ada yang dilatih dengan sempurna dalam sistem perundangan Islam, ada pusat institut latihan perundingan Islam, semua itu sudah berkembang, mereka pun berkembang juga, maka berlakulah, ternakan itu menghasilkan benih baharu,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI